FGV berkata, pihak ketiga yang dilantik itu akan memastikan agensi-agensi tersebut mematuhi sepenuhnya keperluan syarikat.

Katanya, ia juga merupakan sebahagian daripada langkah komprehensif yang melibatkan juruaudit bebas dalam proses dan prosedur pengambilan pekerja FGV.

Syarikat perladangan itu berkata, langkah berkenaan dijangka bermula beberapa minggu akan datang.

“Perjanjian dengan pihak ketiga yang bebas sedang dimuktamadkan dan FGV akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai.

“Setiap agensi yang dilantik telah disemak dan melalui proses yang ketat serta terlibat dalam terma-terma kontrak yang meliputi perlindungan hak pekerja a­sing,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

FGV berkata demikian susulan petisyen yang dikemukakan oleh gabungan organi­sasi bukan kerajaan (NGO) kepada pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat pada 15 Ogos lalu.

FGV berkata, terdapat beberapa dakwaan yang dibuat terhadap syarikat dalam petisyen tersebut, memetik sejumlah sumber, termasuk artikel dalam Wall Street Journal yang diterbitkan pada 26 Julai 2015.

Malangnya, menurut FGV, sesetengah dakwaan yang dikemukakan dalam petisyen berkenaan adalah tepat pada masa itu.

“Namun kebanyakan te­lah diperbetulkan sepanjang tempoh bermula Disember 2018, dengan satu perkara utama yang dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

“Ia adalah perkara berkaitan dengan pengesahan pekerja asing di negeri Sabah, yang memerlukan penglibatan di peringkat kerajaan dan melibatkan perubahan dasar,” katanya.

Tambah kenya­taan itu, FGV kini memiliki 68 buah kilang di Malaysia serta ladang kelapa sawit seluas 339,385 hektar dan daripada jumlah tersebut, 290,829 hektar dipajak daripada Felda dan diba­ngunkan sebagai sebahagian daripada program pemba­ngunan pertanian negara sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Katanya, satu pertiga daripada pengeluaran semasa FGV sekitar tiga juta tan dikeluarkan di ladang-ladang tersebut dan FGV mempunyai kawalan pengurusan penuh ke atas ladang-ladang itu.

Baki dua juta tan dihasilkan oleh pekebun kecil dan ladang yang bebas atau teran­cang.

“Unsur utama dalam menangani isu-isu yang telah dibangkitkan dalam peti­syen tersebut dalah keberhasilan tandan buah segar (FFB) yang dibekalkan kepada kilang FGV.

“Pada masa ini, FGV mempunyai 100 peratus kebolehkesanan untuk semua ladang kita sendiri dan semua FFB yang dihasilkan oleh pekebun kecil yang merupakan sebahagian daripada skim kerajaan yang teratur,” katanya.

Menurut FGV lagi pengeluaran tersebut menyumbang kira-kira 70 peratus minyak yang dihasilkan oleh FGV.

“Daripada tambahan 30 peratus atau kira-kira satu juta tan minyak yang dihasilkan daripada ladang yang dimiliki oleh pekebun dan pekebun bebas, FGV kini dapat mengesan 66 peratus daripada kuantiti FFB kepada pembekal Tier 1 (ladang asal dan pusat pengumpulan).

“Oleh itu, 86 peratus minyak yang dihasilkan oleh kilang FGV kini dapat dikesan sepenuhnya kepada pembekal Tier 1,” katanya.

HABIS