“Ia seperti mengatakan Tune Hotel, sebuah hotel bajet harus mengenakan bayaran sama seperti hotel lima bintang Shang-ri La,” katanya dalam tweet pagi ini.

Beliau berkata, jika ada pihak yang mengatakan ­kedua-dua terminal adalah sama, orang itu harus pergi dan melawat untuk melihat sendiri kualiti perkhidmatan yang disediakan di kedua-dua terminal.

“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa AirAsia tidak membayar cukai lapangan terbang, anda (penum­pang) yang membayarnya dan kami akan meneruskan perjuangan untuk pihak anda.

“Kami tidak fikir penumpang yang menggunakan KLIA2 sepatutnya membayar sama dengan mereka yang menggunakan KLIA,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa syarikat penerbangan kos rendah itu selalu me­minta kemudahan yang ringkas dengan cukai lapangan terbang yang rendah.

Fernandes semalam menyatakan kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Air­Asia perlu membayar sekurang-kurangnya RM40.73 juta kepada anak syarikat Malaysia ­Airports Holdings Bhd. (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd. berhubung caj PSC yang tidak dibayar dari Julai hingga Disember tahun lepas. - UTUSAN ONLINE