Syarikat itu dalam satu kenyataannya berkata, program MTN tersebut mempunyai tempoh 19 tahun dan Premier Auto akan secara berkala menerbitkan MTN pelbagai tempoh dengan had agregat sehingga RM1 bilion.

Premier Auto adalah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan sebagai penerbit program MTN itu.

Bahagian pertama MTN Senior berjumlah RM105 juta terdiri daripada RM85 juta MTN Kelas A dengan penarafan AAA dan RM20 juta MTN Kelas B dengan penarafan AA3 di jadual diterbitkan pada 19 Julai ini.

“ELK-Desa menyasar menggunakan dana baharu itu untuk mengembangkan jumlah penyewa perniagaan pembiayaan sewa belinya yang mana aktiviti perniagaan merupakan penyumbang pendapatan utama kepada kumpulan,” katanya di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya, Teoh Seng Hee berkata, penerbitan program MTN itu adalah sejajar dengan strategi pengurusan modal syarikat untuk bergantung kepada pinjaman bagi mengembangkan perniagaan sewa beli dalam tempoh terdekat dan sederhana.

“Kami telah menimbang beberapa pilihan pembiayaan dan kami percaya program MTN ini menyediakan sumber pembiayaan alternatif yang berdaya maju dan efektif dari segi kos menerusi pasaran modal hutang.

“Nisbah tahap kadar hutang ELK-Desa kekal rendah dan di paras boleh diuruskan pada 0.28 kali pada 31 Mac 2019. Ini menyediakan fleksibiliti kepada kumpulan untuk memanfaatkan pasaran modal hutang bagi mengumpulkan dana,” katanya. - BERNAMA