Pengerusinya, Kenny Ngi berkata, ekspo selama tiga hari itu menyasarkan jualan pakej pelancongan destinasi tempatan dan antarabangsa sebanyak RM10 juta.

“Kita menjangkakan lebih 13,000 pengunjung dijangka mengunjungi ekspo berkenaan di bandar raya ini yang bakal disertai 50 pempamer membabitkan 150 gerai terdiri daripada agensi pelancongan, pengusaha resort, hotel dan taman tema.

“Sasaran jumlah jualan dan pengunjung itu kita rasakan ia realistik berdasarkan sambutan penganjuran ekspo berkenaan di tempat sama minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan,” katanya dalam sidang media bersempena penganjuran ekspo itu di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran eskpo tersebut juga menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak 12 tiket penerbangan ke Thailand yang ditaja Malaysia Airlines kepada pengunjung bertuah dengan cabutan akan dilakukan setiap hari pada 9.30 malam.

Kenny berkata, sebelum eskpo kali kedua di bandar raya ini berlangsung, peminat pameran pelancongan itu boleh mengunjungi eskpo sama yang akan diadakan di pusat beli-belah The Summit di Batu Pahat bermula 27 hingga 28 Julai ini.

“Ekspo pelancongan di Batu Pahat itu menyasarkan jualan pakej pelancongan sebanyak RM8 juta,” katanya.

Beliau berkata, seperti penganjuran sebelum ini, pengunjung hanya perlu membayar RM3 bagi dewasa, manakala percuma untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta berpeluang menyertai cabutan bertuah yang disediakan.

Dalam pada itu, Kenny turut mengingatkan orang ramai yang ingin melancong supaya mengambil peluang mendapatkan pakej terbaik pada ekspo berkenaan yang dijual oleh pelbagai agensi pelancongan yang berlesen dan menjadi ahli MATTA. - UTUSAN ONLINE