Pada suku pertama ekonomi berkembang 4.5 peratus menjadikan pertumbuhan separuh pertama pada 4.7 peratus.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) melihat wujudnya risiko penurunan kepada Malaysia tahun ini susulan ketegangan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China disebabkan penangguhan beberapa pelaksanaan tarif, menurut Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 lebih rendah sekitar 0.1 mata peratus jika ketegangan semakin memuncak hingga menyebabkan pertumbuhan ekonomi global juga susut 0.1 mata peratus.

“Ini secara tidak langsung menyaksikan pertumbuhan eks­port dijangka lebih rendah 0.2 mata peratus, jika perdagangan global diunjur merosot 0.1 mata peratus. Namun, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh aktivi­ti sektor swasta.

“Sektor luaran pula dijangka terus menerima kesan daripada pertumbuhan global yang le­bih perlahan ekoran ketegangan perdagangan yang masih berlarutan,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bagi Suku Kedua 2019 di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Nor Shamsiah, secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan asas menunjukkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3 dan 4.8 peratus pada 2019.

Pada suku berkenaan, ekonomi Malaysia disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang lebih tinggi manakala dari segi penawaran, sektor perlombongan kembali mencatatkan pertumbuhan positif, didorong pemulihan dalam pengeluaran gas asli.

Hutang luar Malaysia berjumlah RM931.1 bilion atau 61.3 peratus daripada KDNK setakat akhir Jun 2019 juga kekal terurus.

Dalam suku itu juga, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.5 peratus berbanding dolar AS berikutan aliran keluar portfolio bukan pemastautin ekoran sentimen pelabur yang masih lagi lembab disebabkan oleh prospek pertumbuhan dunia yang kian perlahan dan berpunca daripada ketegangan perdaga­ngan global.

Bagi tempoh 1 Julai hingga 15 Ogos, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.2 peratus berban­ding dolar AS. Sejak awal tahun hingga kini, ringgit telah menyu­sut nilai sebanyak 1.3 peratus berbanding dolar AS dan trend ini sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

Beliau berkata, kesemua ketidaktentuan ini nyata masih ketara lantas terus menjejaskan kesanggupan para pelabur untuk mengambil risiko dalam pasaran kewangan serantau termasuk Malaysia.

“Kita telah melalui beberapa episod aliran keluar modal dan penyusutan nilai ringgit yang teruk tetapi ekonomi Malaysia masih terus berkembang dan pasaran kewangan kita berfungsi dengan teratur.

“Dalam masa sama, de­ngan kelemahan ringgit ini juga secara tidak langsung meningkatkan nilai tempahan terutama sektor pembuatan dan kemungkinan negara akan melalui lencongan perdagangan jika ketegangan AS dan China berterusan,” katanya.

Tetapi, menurut Nor Shamsiah, petanda lencongan perdagangan masih di peringkat awal dan impak­nya kemungkinan tidak dirasai tahun ini atau awal tahun hadapan.

Mengenai kejatuhan hasil bon global secara berterusan, beliau berkata, pergerakan menurun dalam hasil bon Malaysia tidaklah seteruk ekonomi serantau memandangkan pasaran bon negara adalah pelbagai dan dengan kepelbagaian pelabur dapat membantu menyerap impak kepada hasil bon.

Semalam, kebanyakan pasaran mata wang Asia lemah susulan wujudnya isyarat kemelesetan daripada pasaran bon AS berikutan penangguhan tarif import dari China. Ia menyaksikan hasil bon 30 tahun Perbendaharaan AS susut di bawah dua peratus buat kali pertama apabila kemelesetan global mencengkam pasaran kewangan dan menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang lebih selamat.