Ekonomi global mengukuh pada 2017 sejajar dengan pemulihan serentak dalam kalangan negara maju serta negara yang berkembang pesat dan negara membangun. Sehingga kini, aktiviti pengeluaran industri, pelaburan dan perdagangan terus rancak meskipun dengan ketidaktentuan dasar di negara maju utama, peningkatan dasar perlindungan dan ketegangan geopolitik. Walaupun berhadapan dengan cabaran ini, ekonomi global dijangka terus berkembang pada 2018.

Sejajar dengan perkembangan global, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 5.7 peratus dalam tempoh separuh pertama 2017 berbanding empat peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pengembangan ekonomi ini didorong oleh permintaan domestik yang teguh serta peningkatan prestasi sektor luar. Penggunaan swasta berkembang lebih rancak pada kadar 6.9 peratus manakala pelaburan swasta meningkat kukuh sebanyak 10 peratus. Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan terutamanya dari benua Asia dan Eropah. Ini dicerminkan melalui aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan berjumlah RM25.2 bilion dalam tempoh yang sama. Pelaburan ini disalurkan terutamanya dalam sektor perkhidmatan, perlombongan dan pembuatan. Berdasarkan perkembangan ini, ekonomi negara dijangka terus kukuh untuk mencapai pertumbuhan antara 5.2 dan 5.7 peratus pada 2017.

Di samping sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan memberi sokongan berterusan untuk mengukuhkan ekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat. Pada masa yang sama, kerajaan kekal komited dengan usaha konsolidasi fiskal tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan awam. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal berbanding KDNK daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.1 peratus pada 2016 dan seterusnya kepada tiga peratus pada 2017. Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah counter-cyclical untuk menyokong ekonomi.

Tambahan pula, kerajaan akan terus menggalakkan bidang pertumbuhan baharu bagi memperkasa asas ekonomi demi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Usaha ini termasuk menambah baik jalinan fizikal dan jaringan maya di seluruh negara. Selain itu, usaha sedang dilaksanakan bagi menggalakkan firma mengamalkan Revolusi Industri 4.0 melalui peningkatan kesedaran dan penyediaan latihan bagi mengubah kaedah menjalankan perniagaan yang akan menghasilkan peningkatan berganda dalam produktiviti dan kecekapan.

Antara pemangkin terpenting bagi Revolusi Industri 4.0 adalah penerapan ekonomi digital. Pada masa ini, ekonomi digital menyumbang 17.8 peratus kepada ekonomi Malaysia dan disasarkan pada 20 peratus menjelang 2020. Menyedari potensi ekonomi digital, kerajaan telah mengumumkan 2017 sebagai “Tahun Ekonomi Internet.” Bagi memastikan kejayaan agenda ini, kerajaan telah menggariskan lima bidang pemangkin merangkumi analitik data raya, pengkomputeran awan, eDagang, Internet of Things dan artificial intelligence. Di samping itu, kerajaan sedang mewujudkan Kuala Lumpur Internet City dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ). Inisiatif DFTZ merupakan sebahagian daripada Tindakan Strategik eDagang Nasional bertujuan menggandakan pertumbuhan eDagang negara daripada 10.8 peratus pada 2016 kepada 20.8 peratus menjelang 2020.

DFTZ akan menyediakan zon fizikal dan maya bagi memudah cara perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memanfaatkan penyatuan dan perkongsian ekonomi digital serta aktiviti ekonomi rentas sempadan. Inisiatif ini akan meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada ekonomi. Pada masa ini, PKS mencakupi 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan dan 65 peratus daripada jumlah guna tenaga namun hanya menyumbang secara kolektif 36.6 peratus kepada KDNK. Melangkah ke hadapan, kerajaan akan menambahbaik ekosistem bagi membantu PKS merapatkan jurang teknologi, meningkatkan produktiviti serta menambah keupayaan dan kapasiti tenaga kerja. Ke arah ini, kerajaan telah melancarkan Blueprint Produktiviti Malaysia pada Mei 2017 yang akan menjadi pemacu perubahan bagi meningkatkan produktiviti di Malaysia melalui transformasi holistik di peringkat perusahaan, sektor dan nasional.

Kerajaan telah berjaya menyediakan sistem pengangkutan awam yang terbaik untuk rakyat dengan pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan sambungan Transit Aliran Ringan. MRT Laluan SBK merupakan antara projek infrastruktur terbesar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Pada masa yang sama, kerajaan terus melaksanakan projek berteraskan rakyat termasuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Lebuh Raya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR).

Dari segi pasaran eksport, Malaysia akan terus mempelbagaikan destinasi ke China, India, Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, eksport kasar Malaysia melonjak 22.2 peratus berbanding satu peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, disumbangkan terutamanya oleh E&E dan komoditi. Imbangan akaun semasa negara akan kekal surplus sebanyak 2.5 peratus kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2017. Sehubungan itu, pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk mempelbagaikan produk eksport dan mempergiat aktiviti pelancongan.

Kita mesti meneruskan pelaksanaan transformasi negara. Melangkah ke hadapan, kerajaan telah melancarkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menempatkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 negara teratas di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi. TN50 dibentuk melalui aspirasi rakyat dan menjadi panduan bagi menghadapi masa hadapan. Sungguhpun kita akan menghadapi pelbagai cabaran, namun bersama kita mampu menjadi negara yang bersatu dan makmur.

DATUK SERI MOHD. NAJIB
Putrajaya
27 Oktober 2017