Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga dijangka lebih kukuh terutamanya disumbangkan oleh kutipan hasil lebih tinggi serta pertumbuhan perbelanjaan yang sederhana.

Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, mengambil kira perkembangan tersebut, kedudukan defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM39.8 bilion berbanding RM39.9 bilion pada 2017.

“Hutang Kerajaan Persekutuan diunjur sekitar 50 peratus daripada KDNK menunjukkan komitmen berterusan kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang pada 2020.

“Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 6.4 peratus kepada RM239.9 bilion dan hasil cukai dijangka meningkat 6.3 peratus kepada RM191.6 bilion,” jelas laporan berkenaan.

Tambah laporan itu, kerajaan akan terus mengukuhkan kutipan hasil cukai dengan meningkatkan pematuhan dan menambah baik pentadbiran cukai.

Selain itu, anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 adalah RM280.2 bilion iaitu 5.4 peratus lebih tinggi daripada 2017.

Jelasnya, sektor sosial akan terus diberi keutamaan pada tahun 2018 dengan peruntukan sebanyak RM11.7 bilion daripada jumlah perbelanjaan pembangunan (DE), terutamanya untuk pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta perkhidmatan kebajikan.

“Peruntukan terbesar sebanyak RM5.3 bilion atau 11.4 peratus daripada DE akan disediakan untuk subsektor pendidikan dan latihan bagi menambah baik kemudahan pendidikan dan memenuhi permintaan tenaga kerja mahir.

“Sebanyak RM3 bilion disediakan untuk pendidikan tertiari, RM787 juta untuk pendidikan rendah dan menengah manakala RM694 juta untuk program kemahiran serta latihan,” jelasnya.