Eastspring dalam kenyataan berkata, pengagihan tersebut mewakili hasil dividen 5.75 peratus.

Katanya, pengagihan tersebut konsisten dengan matlamat dana iaitu berusaha menyediakan pendapatan tetap sepanjang tempoh dana.

“Kesemua pemegang unit yang mengekalkan pegangan masing-masing dalam dana berkenaan setakat 23 April 2019 layak menerima pengagihan pendapatan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengenai prospek pasaran, Eastspring berkata, sentimen pelabur dalam pasaran kredit Asia menjadi semakin lebih baik sejak beberapa bulan ini selepas ketidaktentuan pasaran pada 2018.

“Pendirian berpihak kepada kadar faedah lebih rendah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan langkah dasar bersifat menyokong di China telah menggalakkan permintaan pelabur terhadap pulangan hasil sekali gus mendorong tebaran yang lebih ketat khususnya bagi dana pulangan hasil yang besar,” katanya.

Menurut syarikat itu, pihaknya cenderung untuk lebih berhati-hati dalam menambahkan risiko selepas peningkatan ketara jangka pendek bagi pasaran yang kukuh memandangkan ia menjangkakan prestasi pasaran akan dipengaruhi oleh kadar kupon setelah ditolak kadar pembiayaan institusi dari sini.

“Permintaan pelabur terhadap pulangan hasil dijangka berterusan memandangkan kadar faedah mungkin kekal teguh dalam keadaan persekitaran pertumbuhan yang lembab dan dasar monetari Fed yang tidak memberi kesan negatif.

“Situasi pembiayaan yang longgar dan secara amnya mencukupkan kedudukan mudah tunai sepatutnya turut mengurangkan risiko pembiayaan semula bagi terbitan yang membawa pulangan tinggi. Bagaimanapun, ketidaktentuan makro dan politik yang berterusan boleh menyebabkan ketidakpastian yang kami lihat sebagai peluang untuk membeli pada harga lebih rendah,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE