Menurut Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Pusat DEUM, Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani, aplikasi BOSS 4.0 akan memudahkan urusan perniagaan melalui telefon pintar sepenuhnya.

“Sebagai seorang peniaga, mereka perlu memanfaatkan penggunaan teknologi telefon pintar untuk tujuan perniagaan secara lebih berkesan.

“Aktiviti-aktiviti perniagaan seperti menerima pesanan, pembungkusan dan penghantaran dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas, “katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran BOSS 4.0 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan pelbagai pemain industri di sini hari ini.

Khairul Khuzaini berkata, aplikasi BOSS yang bermaksud ‘Business’ atau perniagaan, ‘Owner’ atau pemilik, ‘Self’ atau sendiri dan ‘Starter’ untuk permulaan di dalam Bahasa Malaysia boleh dilanggan menerusi platform IOS dan Play Store.

Katanya lagi, dengan kos langganan sebanyak RM 1,000 usahawan baharu boleh menyewa ruang niaga di dalam talian, mendapat penyenaraian percuma selain mendapat pelanggan yang lebih ramai.

“Melalui aplikasi BOSS 4.0 yang DEUM lancarkan ini kita menganggarkan 2,000 pengusaha kecil-kecilan termasuk peniaga warung, penjaja, peniaga restoran Melayu, restoran halal dan restoran mamak menjadi penggerak industri 4.0. pada masa akan datang,”katanya.

Justeru, hari ini pihaknya menandatangani Memorandum Persefahaman dengan beberapa syarikat termasuk syarikat pengurusan acara, EZ9 Event Int. Co., persatuan penjaja, persatuan peniaga pasar malam, persatuan food truck dan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memastikan penggunaan aplikasi BOSS 4.0 yang menggunakan teknologi China digunapakai secara meluas di negara ini. – UTUSAN ONLINE