Rakan Pengasas Delaware, Peter Oyserman berkata, selain itu pihaknya juga berhasrat mencipta sehingga 500 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh tersebut.

Katanya, pembukaan Pusat Penghantaran Global Delaware dengan kerjasama Johnson Matthey (JM) dari United Kingdom (UK) berfungsi untuk meningkatkan keupayaan penyampaian global Delaware selain menggunapakai sistem SAP kepada JM secara global di lebih daripada 30 negara dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Kami sedang mengembangkan kehadiran kami dari sebuah pejabat dengan 15 pekerja untuk mengukuhkan rancangan pengembangan global bagi memberi penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang canggih dengan cara yang kos efektif.

“Pada fasa pertama, pasukan yang terdiri daripada 100 pakar Malaysia akan memberi tumpuan untuk melaksanakan SAP untuk JM, pelanggan utama kami.

“Pasukan itu juga akan menyampaikan perkhidmatan SAP, OpenText dan Microsoft kepada syarikat multinasional di UK, Amerika Syarikat, Belgium, Belanda dan Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis perasmian Pusat Penghantaran Global Delaware itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming.

Yang turut hadir, Pengarah Transformasi JM, Alan Guthrie.

Sementara itu, Guthrie berkata, pihaknya kagum de­ngan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang mempunyai kelebihan dari segi lokasi dan kualiti infrastruktur.

“Asas negara ini juga kukuh dan stabil selain kerajaan juga sangat menyokong syarikat ­asing yang menubuhkan Pusat Pengiriman Global dengan ­menawarkan antara lain, ­insentif cukai yang menarik dan kebebasan dalam pengambilan pekerja tempatan dan ­asing,” katanya.

JM merupakan pelabur jangka panjang di Malaysia dan syarikat itu telah membuka sebuah kilang di Nilai pada 1996.