Saham kedua-dua syarikat tersebut menjunam dengan teruk lebih 15 peratus hingga digantung Bursa Malaysia sepanjang hari. Pada Jumaat, saham MyEG jatuh 24.7 peratus dan ditutup kepada pada paras te­rendah dalam tempoh tiga bulan kepada RM1.13 sesaham. Bagaimanapun, pada Isnin ia kembali melonjak 22.12 peratus dan ditutup kepada RM1.38 sesaham. Semalam, saham MyEG susut kembali, jatuh 10 sen kepada RM1.28 sesaham.

Prestasi saham Datasonic terus menyusut walaupun me­nunjukkan sedikit peningkatan dalam dagangan pagi Isnin. Selepas susut 30 peratus Jumaat lalu ke paras terendah dalam tempoh empat tahun pada 49 sen, ia ditutup rendah, 45.5 sen selepas susut tiga sen pada petang Isnin manakala semalam, sahamnya terus susut dua sen kepada 43.5 sen.

Ahmad Zahid didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah (SPRM) kerana terlibat dalam 45 pertuduhan rasuah, penggubahan wang haram dan pecah amanah di bawah kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Mangsa

Baik Datasonic mahupun MyEG, syarikat ini telah menjadi antara ‘mangsa awal’ apabila Barisan Nasional gagal mempertahankan kuasanya setelah 61 tahun memerintah.

Mengimbas semula, selepas pasaran dibuka semula (setelah ditutup tiga hari untuk pengundian pada 9 Mei lalu, diikuti cuti kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan cuti Sabtu dan Ahad, saham MyEG jatuh 29.84 peratus atau 77 sen kepada RM1.81 sesaham dengan lima juta saham diniagakan.

Apakah kaitan syarikat ini de­ngan bekas parti pemerintah itu?

Datuk Dr. Norraesah Moha­mad bukan sahaja merupakan Pengerusi Eksekutif syarikat itu malah beliau adalah pemegang saham utama dengan kepenti­ngan sebanyak 30.88 peratus. Sebelum ini, Norraesah merupakan senator dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Bagi Datasonic pula, apa yang mengaitkannya dengan kerajaan ketika itu adalah pengli­ba­tannya dalam kontrak kerajaan untuk membekalkan cip pasport dan biodata polikarbonat.

Sekalipun kedua-dua syarikat ini telah menjelaskan kedudukan mereka, namun, adalah pen­ting untuk kita jadikan ia satu pengajaran. Sudah tiba masanya satu pendekatan diambil untuk memastikan mana-mana parti pemerintah tidak mempu­nyai pegangan atau kepentingan da­lam mana-mana syarikat (terma­suk syarikat milik kerajaan).

Perkara ini sudah pun disua­rakan kerajaan Pakatan Harapan yang mana kita hanya menanti sejauh mana ia telus dan mampu menjiwai semangat Malaysia Baharu seperti diuar-uarkan netizen.

UMNO

Ini termasuklah pegangan dalam syarikat media yang dikaitkan dengan UMNO, iaitu syarikat yang mendukungi akhbar ini (Utusan Malaysia dan Kosmo!) dan Media Prima Bhd. UMNO memiliki pegangan langsung 49.8 peratus dalam Utusan Melayu (M) Bhd. dan umum mengetahui apa yang menimpa syarikat akhbar ini dan masih tertunggu-tunggu pelan penstrukturan seterusnya.

Selain itu, syarikat yang tidak terlepas dengan imej UMNO iaitu KUB Malaysia Bhd. yang mana 52.17 peratus kepenti­ngannya dimiliki Anchorscape Sdn. Bhd., iaitu syarikat pega­ngan pelaburan yang dikaitkan dengan Darhim Dali Hashim dan Datuk Abdul Rahman Mohd Redza (ADUN UMNO Linggi).

Tidak terkecuali, Boustead­ Holdings Bhd. (Boustead) di­dak­wa terlibat dalam kes pe­ngambilalihan tanah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor hingga disaman usahawan permaidani, J.Deepak.

Boustead dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberi­tahu, pada Disember 2012, syarikat memperoleh dua plot tanah berukuran 39.18 hektar dan 32.81 hektar di Kapar, Klang termasuk plot tanah berukuran 8.94 hektar di Bukit Raja, Petaling.

Pengambilalihan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bakti Wira Deve­lopment Sdn. Bhd. dan Astacanggih Sdn. Bhd. Boustead bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai 'tidak berasas, remeh dan tidak wajar'.

Adil

Sejujurnya, tidak adil jika hanya wujud gesaan supaya UMNO melepaskan pegangan dalam syarikat akhbar kerana pengaruh politik dalam syarikat-syarikat tersenarai dan syarikat milik kerajaan yang lain juga masih ‘kuat’.

Jika benar UMNO atau syarikat berkaitan mahu memperkasa ekonomi bumiputera, syarikat-syarikat ini perlu bersaing dengan lebih sihat dan membuka peluang kepada bumiputera dan bukan semata-mata mengkayakan poket sendiri atau memperoleh projek atas nama individu tertentu.

Selepas lebih lima bulan Pilihan Raya Umum Ke-14, asas untuk membina semula keyakinan pelabur juga masih sukar. Apatah lagi dasar-dasar kerajaan belum jelas dan semua pihak menantikan pembentangan Bajet 2019, 2 November ini.

Ketika ini, keadaan pasaran juga lemah yang turut dipe­ngaruhi faktor luaran. Ini susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 10 peratus bernilai AS$200 bilion (RM826 bilion) ke atas import China berkuat kuasa 24 September 2018 hingga Januari 2019 apabila levi meningkat 25 peratus. Kesannya, pasaran tempatan susut 0.6 peratus dan jatuh di bawah paras 1,800 mata. Petang semalam, pasaran tempatan jatuh di bawah 1,700 mata setelah susut 24.87 mata ke paras 1,697.60 mata.

Menurut MIDF Research, setakat minggu lalu, bursa telah menyaksikan aliran keluar seba­nyak RM1.2 bilion pada Oktober menjadikan aliran keluar tahunan semasa berjumlah RM9.8 bilion.

Nota pengarang: Kolum Cikgu Saham akan kembali minggu hadapan.