ANTHONY DYLAN
ANTHONY DYLAN

Ketua Pegawai Operasi CPN Malaysia, Anthony Dylan Anak Frankie Jurem berkata, Centra i-City merupakan projek usahasama antara CPN dan I-City Properties Sdn. Bhd. dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM850 juta.

Menurut beliau, pusat beli-belah seluas 940,000 kaki persegi dengan 350 lot kedai itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2019.

“Pembinaan telah dimulakan pada Januari 2016 dan kerja-kerja struktur telah disiapkan pada Februari lalu. Setakat ini Central i-City telah 75 peratus siap dengan kadar ambilan mencecah 70 peratus.

“Pecahan kedai-kedai yang terdapat di pusat beli-belah ini adalah makanan dan minuman sebanyak 25 peratus, fesyen (20 peratus), hiburan (enam peratus), pasar raya (empat peratus), gedung jualan (20 peratus) dan lain-lain perniagaan (25 peratus). Jangkaan ini berdasarkan perancangan awal dan akan berubah bergantung kepada keadaan pasaran serta trend pengguna,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Anthony Dylan, Central i-City menempatkan beberapa penyewa utama seperti Sogo, Village Grocer dan TGV Cinema yang mana ia bakal menjadi tarikan utama kepada pengunjung di samping rekaan dalaman dan konsep membeli-belah ala Thailand.

Katanya, gedung beli-belah Sogo dan Village Grocer di Central i-City akan menjadi yang terbesar di Malaysia sementara TGV Cinema menyediakan lapan pawagam dan satu dewan IMAX bersama teknologi audio visual terbaharu.

Sementara itu, Anthony Dylan berkata, lokasi Central i-City yang strategik turut membantu memacu kehadiran pengunjung.

Jelasnya, jaringan jalan raya yang baik serta berdekatan de­ngan lebuhraya utama memberikan akses secara terus kepada para pengunjung di samping jalan keluar masuk ke Central i-City yang sistematik menyumbang kepada aliran trafik yang lancar.

“Kami mahu menjadi sebuah pusat beli-belah pilihan oleh semua segmen sasaran dengan menawarkan kualiti, kemu­dahan serta pengalaman menarik kepada semua pengunjung. Oleh itu, semua faktor sama ada luaran atau dalaman akan membantu kami mencapai matlamat berke­naan,” katanya.