Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom, Azwan Khan Osman Khan berkata, 2017 merupakan tahun yang baik buat syarikat berkenaan apabila mencatatkan momentum pertumbuhan yang lebih stabil berban­ding tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, Celcom juga akan memperkenalkan lebih banyak program kesetiaan khas buat pe­langgan setianya tahun ini bagi meningkatkan lagi kepuasan pe­langgan menggunakan perkhidmatan Celcom.

“Jika dilihat perbandingan de­ngan tahun-tahun sebelumnya, 2017 menyaksikan kami berjaya me­ningkatkan penguasaan pasaran daripada 29.8 peratus pada suku keempat 2016 kepada 30.4 peratus pada suku ketiga tahun lalu.

“Walaupun masih awal ditambah pula persaingan yang semakin sengit, namun saya yakin syarikat dapat meneruskan momentum ber­kenaan tahun ini memandangkan pelbagai penawaran baharu sedang dirancang,” katanya kepada pemberita dalam majlis perasmian program kesedaran keselamatan dalam talian Celcom iaitu Parents Unite for Online Safety di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner.

Mengulas lanjut, Azwan Khan berkata, Celcom akan menumpukan kepada mengekalkan pelanggan sedia ada dengan memberi tawaran lebih bernilai dan berkualiti.

“Sebelum ini, fokus kami termasuk kebanyakan pemain industri lain adalah untuk meningkatkan jumlah pengguna baharu, namun melabur untuk mendapatkan pelanggan baharu adalah lebih mahal berbanding mengekalkan pengguna sedia ada,” ujar beliau.

Dalam pada itu, menurut Kuehner, Celcom terus komited dalam membawa mesej kesedaran tentang keselamatan dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, kerjasama dengan kerajaan menerusi kempen Pa­rents Unite for Online Safety itu akan menyaksikan sebanyak 175 Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) di seluruh negara dilengkapi dengan aplikasi penapisan internet iaitu KidSafe.