Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Michael Kuehner berkata, rangkaian 5G itu bakal memberikan pengguna kelajuan data sehingga 400 megabit sesaat (Mbps).

Beliau berkata, pelaksanaan rangkaian 5G kelak mewujudkan peluang besar bagi syarikat te­lekomunikasi menghadapi industri digital dengan potensi diunjurkan berjumlah AS$582 bilion (RM2.51 trilion) menjelang 2026.

“Peluang terbesar wujud dalam sektor pengilangan dan tenaga dari segi hasil yang dicipta atau ditambah baik oleh rangkaian 5G, dan teknologi 5G sangat penting kepada kami kerana ia menyokong pembangunan dan memenuhi keperluan komunikasi pengguna dan pendigitalan pelbagai industri.

“Seharusnya teknologi ge­nerasi baharu sebegini perlu diteroka,” katanya selepas majlis ujian 5G pertama di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Ketua Eksekutif Sektor Komunikasi, Per­khidmatan Digital dan Standard Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus; Presiden Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Azwan Khan Osman Khan.

Celcom Axiata dan Ericsson hari ini melaksanakan ujian 5G pertama di Malaysia menggunakan prototaip radio 5G yang boleh mencapai daya pemprosesan sehingga 18GB per saat.

Kuehner berkata, pelaksanaan ujian tersebut merupakan hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) 5G yang ditandatangani kedua-dua pihak di Barcelona Februari lalu.

“Celcom komited memba­ngunkan dan meneruskan evolusi rangkaiannya dengan teknologi terkini sekali gus membawakan pengalaman digital terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan rangkaian 5G ini hasil kerjasama dengan Ericsson bagi merintis jalan menjalin pakatan mene­roka peluang 5G dan Internet Segala­nya (IoT) di Malaysia,” katanya.