Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, CBP juga berjaya mengawal kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) iaitu di bawah tiga peratus.

Jelas beliau, jumlah aset turut meningkat kepada RM3.61 bilion berbanding RM3.16 bilion pada 2017 dengan 72 peratus daripada jumlah itu merupakan pembiayaan yang dikeluarkan oleh CBP manakala bakinya daripada penempatan deposit dengan institusi kewangan lain.

“Keyakinan para pelabur terhadap prestasi perniagaan CBP serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mendorong kepada peningkatan jumlah anggota. Terdapat penambahan hampir 6,000 anggota individu dan lebih 80 koperasi menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun lalu sebanyak 85,041 keanggotaan.

“Prestasi kewangan yang baik secara berterusan pada setiap tahun membolehkan kami memberi dividen yang tinggi untuk menarik perhatian para pelabur menjadi anggota CBP. Pembayaran dividen untuk 2018 adalah lebih tinggi berbanding 8.5 peratus pada 2017,” katanya dalam majlis kunjungan hormat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Ra­zak.

Sementara itu, Kamari Zaman berkata, pihaknya akan memperkenalkan lima produk baharu pada tahun ini bagi memacu keuntungan selepas zakat untuk tahun kewangan 2019.

Menurutnya, antara produk tersebut adalah kredit berputar, perkhidmatan ejen perbankan dan perbankan mudah alih yang akan diperkenalkan secara berperingkat sehingga suku keempat 2019.

“Produk ejen perbankan contohnya membantu mengendalikan urusan penyimpanan dan pengeluaran wang ahli bagi pihak CBP. Langkah ini secara tidak langsung membantu memberikan penjimatan kos operasi serta meluaskan jangkauan perkhidmatan sehingga ke pedalaman.

“Kami juga akan memberi tumpuan kepada sumber-sumber pendapatan lain yang berasaskan fi. Buat masa ini pendapatan berasaskan fi tertumpu kepada perbankan takaful, penulisan wasiat dan Ar-Rahnu,” katanya.