MoC tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong dan Presiden NHMFC, Dr. Felixberto U. Bustos Jr..

Menurut Chee Leong, inisiatif itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Filipina dalam pelbagai perkara termasuk penyelidikan dan perkongsian pengetahuan berkaitan pembiayaan rumah.

“Ia selari dengan mandat yang diberikan kepada kedua-dua institusi untuk membangunkan pasaran kewangan gadai janji kedua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MoC itu membolehkan kedua-dua negara bertukar-tukar pengalaman domestik dalam pembiayaan rumah, gadai janji dan instrumen kewangan lain.

Langkah tersebut dijangka menstabilkan pasaran rumah dan gadai janji, sekuriti bersandarkan gadai janji (MBS) serta instrumen pembiayaan lain untuk memanfaatkan modal persendirian ke dalam pasaran rumah.

Ciri-ciri utama termasuk mengenal pasti dan menarik pelaburan modal oleh pelabur swasta dan awam. - UTUSAN ONLINE