BXCESS yang disediakan sebagai aplikasi mudah alih dan platform web menyediakan akses mudah kepada usahawan ke pelbagai saluran perniagaan yang akan membentuk atau mempercepat kemajuan perusahaan secara lebih cepat dan proses yang lebih mudah.

Pengarah Fintech Capital, Mohd. Hafiz M. Said berkata, BXCESS dilengkapi pelbagai ciri yang dapat membantu mempercepat perjalanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada mendapatkan pinjaman sehinggalah kepada akses pasaran baharu untuk memperoleh bantuan dan kerjasama yang diperlukan daripada agensi kerajaan.

“Agensi-agensi kerajaan juga akan memperoleh banyak manfaat daripada persekitaran aplikasi komprehensif BXCESS.

“Agensi yang terlibat dalam membangunkan usahawan serta institusi kewangan, akademi pembelajaran, syarikat e-dagang, logistik dan syarikat besar boleh memanfaatkan akses kepada usahawan, syarikat pemula niaga dan syarikat membangun, malah menyesuaikan program keusahawanan dalaman mereka untuk industri tertentu,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran aplikasi itu di sini hari ini.

BXCESS dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusof.

Mohd. Hafiz berkata, manfaat BXCESS juga antara lain boleh diperluas untuk meningkatkan operasi.

“Kami membayangkan transformasi digital yang akan membantu usahawan untuk mengembangkan idea perniagaan kepada model kerja, bersedia untuk pemasaran tanpa kesukaran atau kelewatan, transformasi yang akan menukar idea perniagaan yang baik kepada idea perniagaan yang hebat.

“Kami berharap program ini akan menjadi permulaan kepada segala usaha oleh usahawan yang mahu memanfaatkan saluran perniagaan digital sedia ada untuk merealisasikan idea dengan lebih cepat dan mudah daripada sebelum ini,” katanya.

Pada majlis itu, Fintech Capital juga menandatangani dokumen kerjasama rasmi dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai tanda sokongan rasmi kementerian. - BERNAMA