Semasa ditutup, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sejumlah 22.17 mata untuk diakhiri pada 1,592.88 berbanding 1,615.05 yang direkodkan pada Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 0.19 mata lebih tinggi pada 1,615.24 dan mencecah paras rendah 1,591.29 sejurus sebelum ditutup.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung iaitu sebanyak 744-172, manakala 277 kaunter tidak berubah, 713 tidak didagangkan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.19 bilion unit bernilai RM1.69 bilion berbanding 1.97 bilion unit bernilai RM1.55 bilion yang dicatatkan semasa Jumaat sebelum ini.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata, pada hari Jumaat lepas, Dow Jones mencatatkan penyusutan 91 mata dan ia meneruskan aliran penurunan pada Isnin, jatuh 400 mata, dan ini dicerminkan menerusi pasaran tempatan hari ini.

Bursa tempatan ditutup semalam sebagai gantian kepada Hari Raya Aidiladha, ini menyebabkan pasaran menerima tekanan berganda hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sektor teknologi, yang menyaksikan penurunan 2.21 peratus adalah selaras dengan kejatuhan sebanyak 1.20 yang dicerminkan pada Komposit Nasdaq AS berikutan ketegangan perdagangan AS-China.

“Sektor teknologi menyaksikan jualan secara besar-besaran hari ini, diikuti dengan hartanah. Sektor kewangan terjejas akibat jualan besar-besaran dalam saham wajaran tinggi milik perbankan tertentu,” katanya. - BERNAMA