Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.09 mata kepada 1,596.68, selepas menambah 1.67 semasa urus niaga dibuka daripada 1,594.59 semasa ditutup semalam.

Kedudukan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 130 berbanding 63, manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,599 tidak diniagakan dan 14 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 81.29 juta unit bernilai RM40.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, dengan ekuiti global terus bertambah baik, sukar untuk mengabaikan aspek positifnya dan ekuiti Malaysia sudah berada dalam kedudukan untuk pemulihan jangka pendek.

“Walaupun kami fikir penambahbaikan dalam persekitaran pasaran global dapat membantu pemulihan tertangguh, pemulihan boleh diukur berdasarkan kekurangan dorongan baharu untuk belian,” katanya dalam nota ekuiti hari ini.

Ia juga berkata bahawa keadaan pasaran semasa kini berubah sedikit daripada keadaan berhati-hati disebabkan pertikaian perdagangan yang berterusan dan kebimbangan semakin meningkat terhadap ekonomi global yang perlahan, kepada momentum lebih tenang.

“Setakat ini, paras 1,600 mata akan menjadi halangan segera, diikuti paras 1,610

Paras 1,590 masih merupakan sokongan jangka pendek, diikuti oleh paras 1,580, “katanya.

Sementara itu, penganalisis lain berpendapat pasaran hampir pasti bahawa Rizab Persekutuan AS akan sekali lagi mengurangkan kadar faedah selepas mesyuarat semalam, dengan ramai faham bahawa penurunan kadar bertujuan untuk meningkatkan lagi ekonomi ditengah-tengah persekitaran global yang mencabar.

“Pasaran dijangka melihat langkah ini secara positif, ditambah pula dengan data belian runcit yang lebih baik, yang menunjukkan pasaran tidak akan jatuh lebih teruk lagi disebabkan ketidaktentuan global,” katanya kepada Bernama.

Bagi indeks peringkat global, Dow Jones Industrial Average naik 0.93 peratus kepada 26,202.73, Nikkei Jepun meningkat 0.3 peratus 20,680.15 dan Hang Seng Hong Kong menokok 0.15 peratus kepada 26,270.04. - BERNAMA