Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, prestasi bursa tempatan pada minggu lepas turun sejajar dengan pergerakan bursa serantau.

Jelas beliau, paras dana antarabangsa yang keluar dari pasaran Asia masih tinggi sementara tujuh bursa Asia menunjukkan pelabur asing melepaskan AS$2.55 bilion (RM10.63 bilion) pada minggu lepas.

“Semua pasaran mengalami aliran keluar bagi tempoh tersebut bagi pasaran pesat membangun Asia Tenggara yang kami pantau. Pelabur asing di Bangkok meningkatkan aktiviti penjualan bersih mereka sebanyak AS$790.4 juta (RM3.30 bilion).

“Manila mencatatkan aliran keluar bersih asing AS$86.6 juta (RM360.96 juta) dan penjual luar pesisir di Jakarta meneruskan aktiviti penjualan bersih mereka bagi minggu kelima berturut-turut dengan AS$185.6 juta (RM773.6 juta) nilai ekuiti tempatan,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.

Tambah Adam, pelabur luar pesisir di Malaysia terus mengu­rangkan pendedahan mereka dalam saham yang disenaraikan di bursa bagi minggu kelima berturut-turut walaupun pada kadar lebih perlahan dengan jualan ekuiti tempatan bersih berjumlah RM598.1 juta.

Katanya, pelabur asing menjual RM209.6 juta bersih ekuiti tempatan di tengah-tengah keadaan ketidaktentuan geopolitik Argentina dan Hong Kong selain pasaran tempatan hanya dibuka semula pada Selasa selepas cuti Aidiladha.

“Ini merupakan aliran keluar bersih asing tertinggi bagi ming­gu lepas sekali gus menyebabkan bursa tempatan susut di paras bawah 1,600 mata untuk ditutup pada 1,592.88 bagi hari yang sama. Ia merupakan prestasi penutup pasaran terendah sejak Ogos 2015,” ujarnya.

Katanya lagi, paras jualan bersih asing berkurangan pada Rabu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pengenaan sebahagian tarif ke atas barangan China sekali gus memberi kele­gaan kepada dunia.

“Kadar penjualan bersih­ a­sing meningkat kepada RM196.8 juta pada Khamis dise­babkan kebimbangan kemungkinan ekonomi AS mengalami krisis. Namun, aktiviti penjualan bersih asing berkurangan kepada RM118.1 juta pada Jumaat susulan pengumuman pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) bagi suku kedua 2019 pada 4.9 peratus yang mengatasi jangkaan pasaran,” katanya.