Ketua Pengurusan Pelaburan dan Produk Standard Chartered Malaysia, Danny Chang berkata, pemain pasaran sangat yakin Fed akan menurunkan kadar faedahnya sekali tahun ini manakala 93 peratus lagi merasakan kemungkinan tindakan sama akan dibuat sekali menje­lang akhir 2019.

Jelas beliau, berdasarkan keputusan Rizab Persekutuan AS masa lalu menurunkan kadar faedah bagi mengelakkan negara berkenaan terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.

“Kita mengharapkan ia akan berjalan dengan baik dan tidak membawa kesan sebaliknya kepada AS. Pada masa sama, keadaan itu adalah baik untuk pasaran ekuiti baharu muncul termasuk Bursa Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar Prospek Pasaran Global Separuh Kedua 2019 Standard Chartered di sini hari ini.

DANNY CHANG
DANNY CHANG

Tambah Chang, pasaran pertama yang akan mendapat manfaat adalah pasaran baharu muncul di Asia Timur Laut seperti Korea Selatan, China dan Hong Kong berbanding pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menurutnya, ini kerana negara Asia Tenggara memiliki beta yang rendah, pulangan dividen tinggi selain komponen pertumbuhan agak rendah.

“Antara faktor yang mempengaruhinya adalah perbezaan elemen teknologi di pasaran Asia Tenggara berbanding Asia Timur Laut. Oleh itu, pelabur mencari pasaran yang memiliki komponen pertumbuhan dan beta lebih tinggi di Asia Timur Laut.

“Tambahan pula pendapatan korporat Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih rendah kurang daripada 10 peratus berbanding 11 hingga 12 peratus di Asia Timur Laut menjadikannya kurang menarik kepada pelabur. Pasaran ekuiti tempatan kita masih mahal berban­ding yang lain,” jelasnya.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Chang berkata, pihaknya menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar tiga peratus sehingga hujung tahun ini.

“Situasi ekonomi semasa tidak menunjukkan keperluan untuk BNM menurunkan lagi OPR selepas berbuat demikian Mei lalu. Sementara itu, ringgit pula dijangka berlegar sekitar RM4.15 berbanding dolar AS meskipun ramalan dolar yang mungkin melemah disebabkan penurunan kadar faedah oleh Fed,” ujarnya.