MIDF Research berkata, minggu lalu bursa saham tempatan menyaksikan pertumbuhan dalam pembelian asing bersih ekuiti tempatan kepada RM163.2 juta berbanding RM146.8 juta pada minggu sebelumnya.

“Sebagai perbandingan dengan empat pasaran ASEAN yang dipantau, Malaysia pada masa ini mempunyai aliran masuk bersih asing kedua terendah manakala Indonesia kekal di tempat teratas dengan mencatatkan kemasukan bersih asing berjumlah AS$997.7 juta (RM4.05 bilion),” katanya dalam laporan aliran dana mingguannya di sini hari ini.

Firma penganalisis itu berkata, terdapat peningkatan pada minggu berkenaan antara 4 hingga 8 Februari walaupun hanya tiga hari dagangan sepanjang minggu perayaan.

Katanya, dagangan pada malam Tahun Baharu Cina mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM49.1 juta sepanjang sesi setengah hari dan pada Khamis, aliran masuk asing meningkat kepada RM89.4 juta.

“Ia sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan mata wang tempatan sebanyak 0.53 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat susulan pemulihan harga minyak mentah dan minyak sawit.

“Momentum tersebut bagaimanapun berkurangan pada Jumaat dengan aliran masuk bersih dicatatkan sebanyak RM24.6 juta,” katanya.

MIDF Research berkata, sebagai perbandingan, pelabur asing merupakan penjual bersih di pasaran Asia lain seperti Korea Selatan, Thailand dan Indonesia di tengah-tengah kebimbangan perdagangan yang diburukkan lagi dengan komen Presiden AS, Donald Trump bahawa dia tidak akan bertemu rakan sejawatnya dari China sebelum tarikh akhir pada 1 Mac mengenai kenaikan tarif perdagangan baharu.

Walau bagaimanapun katanya, penyertaan dalam kalangan semua kumpulan pelabur merosot sepanjang minggu lalu dengan pelabur asing mencatatkan kejatuhan mingguan terbesar dalam purata urus niaga harian sebanyak 43.2 peratus ke bawah paras RM1 bilion.

My EG Services Bhd. mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi sebanyak RM3.56 juta walaupun harga sahamnya turun satu peratus sepanjang minggu lalu. - UTUSAN ONLINE