Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, platform itu akan mengumpul, menganalisis dan menyebarkan maklumat masa nyata tentang ancaman siber dan keupayaan industri untuk menghalangnya.

“BNM juga menubuhkan makmal inovasi yang terletak di Sasana Kijang. Makmal ini akan menyediakan persekitaran kerjasama yang membolehkan penciptaan, mengolah dan mengeluarkan prototaip penyelesaian inovatif untuk mengenal pasti masalah yang wujud,” katanya ketika berucap pada Minggu MyFintech 2019 di sini hari ini.

Sasana Kijang ditubuhkan pada 2011 sebagai pusat kecemerlangan pengetahuan dan pembelajaran. Selain itu, ia juga menjadi lokasi untuk pusat Bank Pusat Asia Tenggara (SEACAN) dan Muzium dan Galeri Seni BNM.

Tambah Nor Shamsiah, bank pusat juga akan bermula dengan akses yang terbuka dan adil kepada infrastruktur pembayaran bersama bagi bank dan bukan bank.

“Ini penting bagi mengiktiraf keperluan untuk infrastruktur digital awam lain seperti kunci untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya teknologi kewangan (fintech).

“Perkara ini termasuk memiliki sistem identiti digital negara, rangka kerja untuk aplikasi program antara muka (API) terbuka dan perbankan terbuka, polisi awan yang jelas dan liputan jalur lebar seluruh negara,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, industri kewangan dan negara memerlukan rangka kerja berwibawa dan terjamin untuk inovasi teknologi di samping mendidik serta memperkasa orang ramai memanfaatkan inovasi.

Katanya, dunia semakin me­nunjukkan perubahan ketara dan menggesa tumpuan diberikan terhadap lima trend mega iaitu aturan ekonomi dunia dengan kebangkitan Asia, risiko perubahan iklim, peningkatan ketidaksamaan pendapatan, peningkatan polisi populisme dan perlindungan dasar-dasar serta kemajuan teknologi.

Menurut beliau, kebergantungan yang semakin me­ningkat terhadap teknologi membawa kepada risiko yang tidak boleh diketepikan.

“Ini termasuk isu data peri­badi, diskriminasi atau bias dan perpindahan segmen-segmen tertentu dalam masyarakat. Risiko ancaman siber dan gangguan operasi pada zaman digital ini harus diberi perhatian bagi menangani masalah ini dengan sepenuhnya,” katanya.