Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Khidmat Nasihat Kewangan (MyKNP) bermatlamat mening­katkan pengalaman pemohon pembiayaan, termasuk memberi pemahaman yang lebih baik mengenai faktor-faktor yang menjejaskan permohonan pembiayaan mereka selain membantu meningkatkan kelayakan memperoleh pembia­yaan pada masa depan.

“Inisiatif MyKNP ini diharapkan dapat meningkatkan kese­daran dan kredibiliti kewangan pengguna bagi mengurangkan jurang maklumat antara pengguna dan institusi kewangan,” katanya pada pelancaran My­KNP di sini hari ini.

MyKNP merupakan inisiatif usaha sama BNM, Credit Gua­ran­tee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi meningkatkan ekosistem pembia­yaan.

Dalam ucapannya, Nor Shamsiah berkata, RM152 bilion pembiayaan diluluskan kepada PKS pada separuh pertama 2019, meningkat daripada RM149 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, pinjaman perumahan berjumlah RM78.5 bi­lion diluluskan dalam separuh pertama 2019, memberi manfaat kepada lebih 180,000 pe­minjam.

Beliau menasihatkan supaya pembiayaan pinjaman kepada PKS dan pembeli rumah perlu digunakan secara berhemat dan bertanggungjawab.

Ini bertujuan memastikan peminjam tidak meminjam melepasi keupayaan mereka sehingga menyebabkan perniagaan atau individu menghadapi masalah kewangan atau beban, katanya.

Nor Shamsiah berkata, PKS dan peminjam yang berpotensi juga perlu bertanggungjawab dalam menilai kemampuan mereka bagi memenuhi komitmen kewangan.

Sementara itu, beliau meng­umumkan penambahan kepada Dana RM1 bilion untuk Rumah Mampu Milik, yang bertujuan membantu pembeli rumah kumpulan berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama mereka.

Penambahbaikan yang berkuat kuasa pada 1 September itu melibatkan pengembangan kriteria kelayakan. Pendapatan isi rumah bulanan maksimum dinaikkan kepada RM4,360 daripada RM2,300, manakala harga hartanah maksimum dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM150,000 sebe­lumnya. – BERNAMA