Walaupun Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas, Mazli Noor melihat penurunan OPR itu sebagai positif, namun melihat kepada senario pasaran sekarang, pihaknya menyarankan BNM mengambil kira beberapa faktor dalam membuat keputusan.

“Ruang regim baharu OPR ini haruslah digunakan sepenuhnya oleh pengguna dan industri untuk berbelanja secara berhemah dan meningkatkan pelaburan oleh pihak industri. Ini bagi mengelakkan berlaku perangkap kecairan.

“Di samping itu, pihak bank perlu meningkatkan lagi pemberian pinjaman bagi menyokong dan meningkatkan agregat permintaan. Tabungan juga haruslah diteruskan walaupun pulangan akan terjejas namun, ia boleh menyokong nisbah pinjaman deposit (LDR) untuk terus berada dalam regim yang mampan dan terlalu tinggi yang seterusnya menyokong permintaan.

“Pada keadaan pasaran sekarang kadar pertumbuhan deposit masih mengatasi kadar pertumbuhan pinjaman. Walaupun tindakan ini boleh mengurangkan tekanan inflasi namun dalam masa yang sama, ia juga boleh menjejaskan nilai ringgit. Ringgit yang lebih rendah mampu menyokong eksport namun perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati dan bukan untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan kecekapan ekonomi Malaysia terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jawatankuasa Polisi Kewangan BNM yang bermesyuarat pada 13 Julai lalu, telah menurunkan Kadar OPR tersebut susulan daripada langkah sama yang telah dilakukan oleh beberapa Bank Pusat Dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan India serta bank-bank pusat serantau seperti Indonesia, Filipina dan Australia.

Susulan tindakan daripada BNM itu, pasaran terus membuat spekulasi bahawa BNM akan terus menurunkan OPR dalam akhir suku ketiga tahun ini dan juga dalam suku pertama 2020.

Dalam pada itu, Mazli berkata, pihak kerajaan perlu membetulkan semula struktur ekonomi negara yang masih berada dalam keadaan salah.

Jelasnya, struktur yang masih bergantung kepada input modal dan bukannya input buruh haruslah diperbetulkan segera sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Hanya dengan struktur ekonomi yang betul sahaja maka masalah yang membelenggu pasaran, terutama kos sara hidup tinggi boleh diselesaikan.

“Sudah tentu bagi melaksanakan pembetulan struktur ekonomi sekarang memerlukan pemboleh ubah yang lain seperti asas cukai yang lebih komprehensif dan adil, peningkatan produktiviti serta mengembalikan keyakinan pasaran,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE