Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, inisia­tif berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Payment Networks Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bersama institusi kewangan tempatan.

“Kad ini membolehkan institusi korporat atau usahawan membuat pembayaran kepada agensi kerajaan sama ada di kaunter berkenaan atau di cawangan bank terpilih tanpa menggunakan cek dan wang tunai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kewangan Kedah 2018 di sini hari ini.

Karnival itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Muhammad memberitahu, sejak pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, penggunaan cek telah menurun sebanyak 42 peratus daripada 205 juta cek kepada 120 juta cek pada 2017.

“Walau bagaimanapun, penggunaan cek oleh golo­ngan usahawan dalam urusan pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan masih tinggi iaitu sebanyak 19 juta cek pada 2016,” kata beliau.

Katanya, usaha kerajaan Kedah melaksanakan inisiatif e-pembayaran di sekolah semasa Program Digital Langkawi 2017 merupakan langkah positif untuk memastikan aspirasi masyarakat tanpa tunai dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) tercapai.

Mengulas lanjut Muhammad berkata, karnival kali ini akan memupuk kesedaran pengurusan kewangan berhemah bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif khususnya dalam kalangan penduduk di Kedah.

“Pemilihan Kedah sebagai lokasi karnival adalah mengambil kira lebih 60 peratus daripada jumlah mukim di negeri ini masih berhadapan dengan perkhid­matan kewangan yang terhad.

“Sejak tahun 2012, BNM bersama pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan telah melaksanakan sebanyak 48 program rangkuman kewangan di kawasan-kawasan pedalaman negeri Kedah seperti Nami, Kupang, Jeniang dan Lubuk Merbau.

“Inisiatif berterusan ini adalah usaha untuk mendidik rakyat menjadi celik kewangan supaya mereka dapat membuat keputusan dan merancang kewangan dengan lebih baik,” ujarnya.