Harga jualan tidak termasuk insurans BMW i8 Coupé baharu untuk pasaran Malaysia adalah RM1.31 juta sebuah dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan serta program servis berjadual percuma.

Ketua Bahagian Jualan BMW Malaysia, Raymond Tan berkata, BMW i8 Coupé baharu me­rupakan satu lagi ikon BMW i yang akan mendefinisikan se­mula teknologi kenderaan Hibrid Plug-in serta seni bina kenderaan LifeDrive serba baharu yang akan melengkapi kesemua model BMW i yang akan datang.

BMW i8 Coupé baharu didatangkan dengan teknologi aerodinamik yang optimum di mana ia membolehkan rinta­ngan udara yang melaluinya disalurkan dengan cara yang paling berkesan.

“Kelebihan ini dicapai melalui kombinasi ciri yang terdapat pada kenderaan seperti kedudukan bonet yang rendah, sistem pengawal flap udara, tirai angin di bahagian hadapan, badan bawah kenderaan bertutup, skirt sisi yang berkontur, jaluran pada sisi kenderaan dan saluran udara yang terletak di antara lampu belakang dan bingkai bumbung.

“BMW i8 Coupé baharu di­lengkapi dengan rim aloi ringan BMW i bersaiz 20 inci dengan penggayaan radial-spoke dan berwarna hitam. En­jin pembakaran tiga silinder dengan pengecas turbo yang dilengkapi ciri suntikan terus dan pemasaan injap pemboleh ubah Valvetronic dapat menjana kuasa maksimum seba­nyak 231 kuasa serta kuasa kilas pada 320 Nm,” katanya dalam ke­nyataan di sini.

Ruangan dalaman BMW i8 Coupé baharu memiliki ke­sinambungan dengan rekaan progresif daripada bahagian luar­­an kenderaan melalui orien­tasi pemanduan BMW i8 klasik yang selari dengan konsep sporty dan dinamik.

Bahagian atas konsol bersambung pada panel instrumen, melengkung ke arah pemandu pada sudut 12 darjah dan kesemua elemen pengawal serta paparan terletak dalam jarak capaian yang sempurna dan mudah untuk dilihat oleh pemandu.

Bahagian kokpit dilengkapi dengan Paparan Head-up BMW yang boleh bertukar ke paparan Sport yang merangkumi maklumat enjin, gear serta lampu penukaran gear apabila gear ditukar secara manual dalam mod Sport.

“BMW Connected pula me­nyambungkan dunia digital pengguna dengan BMW i8 Coupé Baharu ini dibantu dengan Remote App. BMW Connected menawarkan pelbagai kemudahan antaranya status pengecasan, jarak dan masa bertolak untuk memastikan kenderaan ini di cas bagi perjalanan yang seterusnya dan mencari stesen pengecas.

“BMW i8 Coupé baharu didatangkan dengan warna putih bersama sorotan warna kelabu atau warna kelabu istimewa BMW Individual yang baharu dengan rekaan Black Amido atau Accaro pada ruangan dalaman. BMW i8 Coupé baharu boleh didapati melalui pengedar BMW i yang bertauliah di seluruh negara,” ujarnya.