Ketua Perkhidmatan Kewangan KPMG Malaysia, Adrian Lee berkata, sebanyak 40 peratus pengguna percaya institusi kewangan mereka harus bertanggungjawab sepenuhnya atau bersama untuk memastikan peranti yang digunakan untuk perbankan mudah alih selamat.

Katanya, institusi kewangan harus menunjukkan mereka serius menjaga maklumat pelanggan sama ada dalam keperluan keselamatan pelanggan yang lebih luas serta interaksi sesama mereka.

“Sama ada institusi kewa­ngan menganggap sebagai tanggungjawab mereka atau tidak, ia adalah sesuatu yang sangat penting atau berisiko kehila­ngan kepercayaan pelanggan.

“Peranti mudah alih dapat menarik lebih ramai pelanggan menggunakan perbankan digital. Institusi kewangan yang mendapat kepercayaan akan memacu kesetiaan pelanggan di samping menjadi pilihan utama mereka,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan penembusan kadar perbankan internet dan mudah alih, masing-masing pada 91.9 peratus dan 33 peratus pada Februari tahun ini. Transaksi perbankan internet berjumlah RM7.6 trilion manakala perbankan mudah dan e-duit, masing-masing pada RM100.1 bilion dan RM11 bilion.

Sementara itu, Adrian berkata, KPMG juga mendapati 96.8 peratus responden global sanggup kekal dengan penyedia perkhidmatan kewangan walaupun maklumat kewangan mereka dilanggar dengan syarat organisasi mengambil langkah-langkah berkesan untuk menangani kebimbangan mereka.

Menurutnya, ia menunjukkan pengguna menerima hakikat serangan siber tidak dapat dielakkan sepenuhnya.

“Sentimen ini mencerminkan pengguna masih mempercayai institusi kewangan mereka untuk menjadi pihak yang berwibawa. Kepercayaan pelanggan akan meningkat jika institusi kewangan lebih telus berkaitan data yang dikumpul serta menunjukkan secara proaktif melindungi data pengguna,” katanya.