Fokus dengan matlamat kehidupan. Di sini ibu bapa me­mainkan peranan yang pen­ting dalam membentuk minda anak-anak supaya tidak tersasar. Jika tersasar, itu yang susah, duit gaji bulanan ba­nyak dibelikan barang-barang yang tidak berharga dan bermanfaat.

Lebih berangan-angan kepada keselesaan diri sendiri yang merugikan, membeli kereta mewah, barang-barang berjenama, itu adalah contoh anak-anak muda kita terutama sekali yang baru sahaja mendapat kerja.

Cita-cita dan impian harus disertakan dengan peranca­ngan dan tindakan yang tepat. Lengkapkan diri de­ngan ilmu-ilmu hartanah yang sekarang hanya di hujung jari. Seminar-seminar hartanah oleh pakar hartanah juga banyak diadakan. Ekspo-ekspo hartanah juga ba­nyak dianjurkan seperti BPEX, Mapex dan lain-lain.

Ekspo-ekspo ini boleh dijadikan satu platform bagi bakal-bakal pelabur bertemu sendiri dengan ramai pemaju yang menawarkan pelbagai pakej pembelian rumah dan membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing.

Belajarlah teknik-teknik pe­­laburan hartanah dengan men­dekati pemaju-pemaju ini. Dari situ anda akan tahu bagaimana pelaburan hartanah itu akan bermula.

Kemudian pasanglah impian untuk memiliki rumah sendiri. Fokus dengan cita-cita anda. Lihatlah pendapatan anda se­karang, cubalah berjimat sejimat yang mungkin, biar sengsara sekarang tetapi senang di kemudian hari. Pendapatan harus disimpan sekurang-ku­rangnya 20 peratus daripada pendapatan tetap.

Jangan beli kereta dahulu, mungkin boleh carpool atau beli motor lebih jimat, bawa bekalan makanan dari rumah, kalau yang tinggal dengan ibu bapa lagi mudah, perbelanjaannya tidak sebanyak menyewa di luar. Pokoknya, peranca­ngan kewangan harus dikawal rapi.

Ini untuk permulaan sahaja, untuk jangka masa lima tahun pertama dari anda mula be­kerja yang saya jangka pendapatan pertama bermula daripada RM2,500 sebulan.

Pencarian hartanah untuk rumah sendiri harus dinilai kepada faktor-faktor pengangkutan, tidak jauh dari tempat kerja, mengikut bajet dan kemampuan diri serta sesuai dengan cara hidup seseorang itu. Pencarian hartanah untuk pelaburan harus diteliti dengan bijaksana supaya ianya tidak menyusahkan kita di kemudian hari.

Potensi lokasi, sistem pe­ngangkutan yang baik, berhampiran dengan pusat pendidikan dan pusat komersial adalah faktor tambahan yang boleh melonjakkan aset anda. Cari rumah di bawah harga pasaran. Buat perbandingan harga di akhbar-akhbar tempatan, portal hartanah dan sebagainya.

Ketahui siapakah bakal-ba­kal penyewa di kawasan-kawasan sekitarnya sama ada mungkin pelajar-pelajar kolej, pekerja-pekerja kerajaan atau swasta dan sebagainya.

Perlu juga ambil tahu kos-kos yang terlibat dalam pembelian hartanah ini seperti kos guaman, perjanjian jual beli sehinggalah Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT). Beli rumah seperti juga ingin mencari pasangan hidup, semuanya harus ambil tahu.

Jika kita silap langkah, ia­nya akan melibatkan kos per­belanjaan dan menyusahkan hidup kita juga. Contohnya, sebelum membeli pastikan pemaju boleh dipercayai dan berwibawa. Jika tidak, projek tersebut boleh jadi terbengkalai dan kita juga yang akan dibelenggu oleh masalah.

Carilah pemaju-pemaju yang menawarkan pakej-pakej pembelian menarik. Tidak perlu membayar deposit yang tinggi. Pemaju-pemaju juga ada mempunyai cara-cara pakej jualan yang menarik untuk menggalakkan bakal-bakal pembeli tertarik dengan projek mereka seperti diskaun, rebat dan sebagainya.

Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, ramai pemaju berlumba-lumba memberikan pakej-pakej yang terbaik untuk bakal-bakal pembeli mereka. Cuma jangan terpedaya, hati-hati dan dengan ilmu sahaja anda akan tahu tentang trick-trick ini.

Saat kritikal bukanlah masa untuk anda menjual harta­nah tetapi sewaktu anda ingin ‘membeli’ hartanah tersebut. Memilih hartanah dan membuat keputusan hartanah mana yang terbaik adalah penentu pada keuntungan di masa-masa akan datang.

Rancang dengan teliti kehidupan anda. Mulalah membeli rumah di usia muda kerana kalau boleh di hujung usia kita tidak mahu berhutang lagi.

DATUK NOR’ASHIKIN TAIB adalah Pengarah Urusan Medi-Mes­ra Care Management (MMC) Sdn. Bhd.