BLand dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, BPIL memeterai perjanjian dengan Icelandair Group ehf untuk membeli pegangan itu pada Sabtu.

Kumpulan Icelandair Hotels memiliki 20 hotel dengan 1,811 bilik di Iceland dan sedang membangunkan sebuah hotel lima bintang baharu di daerah Parlimen Reykjavik secara kerjasama dengan Hilton Hotels. Hotel dengan 145 bilik itu dijadual dilancarkan pada 2020.

BLand berkata, Icelandair Hotels sedang melakukan penyusunan dalaman di mana kumpulan itu akan mengambil alih 100 peratus pegangan Hljomalindarreitur ehf dan hotel-hotel tertentu dan aset hartanah di Iceland.

Di bawah cadangan penyusunan semula pra-penutup ini, hutang kumpulan Icelandair Hotels akan dibiayai semula dan ia akan diberikan pinjaman berjumlah AS$64 juta hingga AS$72 juta (RM263 juta hingga RM296 juta).

BPIL, yang memeterai dua perjanjian tambahan dengan Icelandair Group hf pada Sabtu, akan memiliki 100 peratus pegangan dalam kumpulan Icelandair Hotels yang disusun semula itu. Bagaimanapun, baki 25 peratus pegangan hanya boleh dibeli dalam tempoh tiga tahun atau lebih selepas pengambilalihan sekarang selesai.

BLand berkata, cadangan pembelian pegangan itu adalah sejajar dengan rancangan kumpulan bagi mempelbagaikan geografi dan pertambahan hasil.

“Segmen hotel mewah di Iceland dijangka berkembang dan cadangan pembelian itu akan membolehkan BLand Group memasuki segmen tersebut dengan hotel yang terletak di lokasi strategik di Iceland serta hotel tertentu yang beroperasi di bawah jenama Hilton,” kata syarikat itu.

Cadangan pembelian itu tidak akan memberi kesan ketara kepada aset bersih dan pendapatan kumpulan BLand bagi tahun semasa yang berakhir pada 30 Jun 2020, tetapi dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depannya.

Menurut syarikat tersebut, cadangan pembelian itu dijangka selesai semasa tahun kewangan ini. - BERNAMA