Menurut Agoda iaitu satu daripada agen pelancongan dalam talian paling pesat di dunia (OTA), kaji selidik itu mendapati tujuh daripada 10 keluarga di dunia mengambil cuti sekurang-kurangnya dua kali setahun, de­ngan pelancong Asia mengambil lebih daripada dua ganda pelancongan keluarga berbanding keluarga di Barat (lima kali setahun berbanding dua).

Kaji selidik Agoda ‘Trend Kembara Keluarga 2018’, yang dilakukan oleh YouGov, mendapati hanya 18 peratus pelancong di dunia melakukan hanya satu percutian setahun, manakala lebih 34 peratus telah membawa lebih lima kali percutian pada tahun sebelum ini.

“Asia mendominasi trend ba­nyak cuti ini dengan 77 peratus pelancong dari Thailand dan 62 peratus dari Filipina, mengakui telah membawa keluarga bercuti lima kali atau lebih pada tahun sebelum ini.

“Sebaliknya, hanya 7 peratus pelancong British berbuat demikian, dengan UK paling berkemungkinan (34 peratus) melakukan hanya satu percutian,’’ kata .

Sementara pelancongan keluarga meningkat di peringkat global, butiran dengan siapa dan untuk berapa lama keluarga mengambil percutian adalah berbeza di seluruh dunia.

Percutian 4-7 malam adalah tempoh paling popular bagi percutian keluarga di dunia tetapi wujud perbezaan besar merentasi seluruh pasaran.

Di UK, percutian 4-7 malam me­wakili 41 perastus pelancong­an keluarga tahun lalu, berbanding hanya 20 peratus bagi Thailand. Sebaliknya, percutian keluarga untuk lebih daripada 14 malam dilakukan oleh hampir sepertiga rakyat Thai tetapi hanya 11 peratus oleh rakyat Malaysia. Keluarga Vietnam, Malaysia dan China adalah yang berkemungkinan paling ramai memilih tempoh 1-3 malam dengan keluarga mereka.

Kaji selidik Agoda ‘Trend Kembara Keluarga 2018’ juga melihat kepada siapa yang dimasukkan di dalam percutian keluarga dan mendapati bahawa sementara 35 peratus pelancong global bercuti bersama datuk dan nenek mereka, pelancong dari UK dan Australia paling sedikit untuk melakukannya, iaitu masing-masingnya hanya 13 peratus dan 20 peratus.

Sekali lagi Thailand (66 peratus) dan Indonesia (54 peratus) berkemungkinan besar akan membawa datuk dan nenek me­reka bercuti. Trend ini juga dapat dilihat apabila melihat kepada anggota lanjutan keluarga de­ngan Thailand dan Indonesia akan membawa adik-beradik, saudara-mara, ibu dan bapa saudara di dalam pelan percutian mereka.

Bukan sahaja anggota keluarga yang orang Amerika, British, Australia dan China tidak akan bawa bersama, mereka juga tidak akan melancong bersama kumpulan sahabat lain bila melancong dengan anak-anak, dengan hanya 22 peratus rakyat Amerika, 23 peratus British, 26 peratus Australia dan 27 peratus China telah berbuat demikian tahun sebelumnya.

Sementara itu, hampir separuh (48 peratus) pelancong keluarga dari Filipina melancong bersama rakan-rakan, disusuli rapat oleh keluarga Vietnam dan Malaysia, masing-masingnya 43 peratus dan 40 peratus.