Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RAM Credit Information (RAMCI), Dawn Lai berkata, golongan tersebut perlu diberi peluang untuk dinilai di bawah polisi dalaman kredit oleh institusi perbankan.

Menurut beliau, ini kerana mereka memerlukan penilaian yang sewajarnya jika meme­nuhi kriteria Nisbah Perkhid­matan Hutang (DSR) selain tidak mempunyai hutang produk-produk kredit lain.

“Daripada perspektif bank mereka masih mencari kriteria tertentu seperti pendapatan yang baik, memiliki sumber kewangan sokongan selain berhasrat menstruktur semula pinjaman jika berada dalam situasi tidak mampu bayar. Mungkin terdapat bank yang akan meluluskan permohonan sekiranya mereka dinilai berdasarkan faktor-faktor ini.

“Golongan ini merupakan penyambung kepada generasi sekarang dan mereka perlu diberi peluang. Saya tidak melihat memberi peluang kepada peminjam PTPTN yang disenarai hitam untuk membeli rumah sebagai satu isu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran CreditScore versi Bahasa Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir CEO Kumpulan iMoney, Mitul Lakhani dan Ketua Aktivis Persatuan pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

Minggu lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peminjam PTPTN yang disena­rai hitam dalam rekod CCRIS akan dikecuali­kan daripada sekatan untuk pembelian rumah pertama.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, penge­cualian itu hanya diberikan untuk pembelian rumah pertama sahaja.

Dalam pada itu, Lai berkata, tindakan membenarkan pe­minjam PTPTN yang disenarai hitam membeli rumah pertama bukan didorong oleh kea­da­an pasaran hartanah semasa.

Katanya, lambakan hartanah yang tidak terjual merupakan agenda yang harus ditangani tetapi bukan dengan cara meluluskan pinjaman kepada pihak yang tidak mampu membayar.

“Kita perlu memberi pinjaman kepada kumpulan yang sepatutnya. Memaksa orang yang tidak mampu membeli demi menangani masalah berkenaan tidak sepatutnya menjadi pertimbangan kerajaan dan institusi perbankan,” ujarnya.