Momentum itu muncul selepas ulasan mengenai rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang akan disambung sebelum Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun dari 28 dan 29 Jun.

Presiden AS, Donald Trump dalam ciapannya di laman Twitter pada Selasa berkata, beliau akan menyambung rundingan dengan Presiden China, Xi Jinping.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.83 peratus atau 13.78 mata untuk ditutup pada 1,666.54 berbanding 1,652.76 pada penutupan Selasa.

Indeks utama yang dibuka 1.81 mata lebih tinggi pada 1,654.57 pagi ini bergerak antara 1,652.58 dan 1,666.90 di sepanjang hari.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 474 berbanding 330 manakala 405 kaunter tidak berubah, 658 tidak diniagakan dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.42 bilion unit bernilai RM2.34 bilion berbanding 2.03 bilion unit bernilai RM1.72 bilion pada Selasa.

Phillip Capital Management berkata, pasaran saham global berada dalam trend menaik sejak semalam susulan ulasan oleh Trump baru-baru yang membayangkan prospek perjanjian perdagangan dengan China.

“Kami juga percaya pengukuhan pasaran tempatan juga dirangsang oleh cadangan Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Draghi bahawa ECB akan menyediakan lebih banyak rangsangan dasar monetari jika keadaan ekonomi terus merosot selain keupayaan ECB untuk memenuhi mandat inflasi terancam,” kata Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Asia Pasifik, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan.

Mengenai ciapan oleh Trump, Nazri berkata, pasaran akan terus meningkat pada minggu yang akan datang apabila tarikh berlangsungnya sidang kemuncak itu semakin dekat. - BERNAMA