Ini adalah antara dilema terbesar graduan yang baru bekerja. Rata-rata mereka menyedari rumah lebih baik berbanding kereta sebagai jaminan pelaburan dan tempat tinggal untuk masa depan, tetapi merasakan bahawa hasrat itu terlalu keterlaluan terutama di usia yang muda, maka sebagai jalan mudah, hanya beli sahaja kereta dahulu.

Walaupun beli rumah lebih bagus, tetapi tidak semestinya keputusan itu adalah yang pa­ling tepat untuk semua orang. Lain orang, lainlah keupayaan, keinginan dan keperluan. Tidak boleh anda katakan beli kereta sebagai kurang bijak kerana tidak mencontohi anda yang sudah bertahun makan gaji.

Contoh mudah adalah jika skop pekerjaan seseorang itu memerlukannya untuk mempunyai pengangkutan, seperti wartawan, jurugambar atau banyak lagi. Atau mungkin juga seseorang itu datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan, jadi kereta baharu amat sesuai digunakan untuk membawa ibu ke pasar.

Mereka yang berdepan situasi seperti itu tidak perlu khuatir kerana masih ada sinar harapan untuk memiliki kedua-dua kereta dan juga rumah. Tetapi, ukur baju di badan sendiri. Bahasa mudahnya, beli kereta yang murah. Ini kerana, fungsinya kekal serupa. Ya mungkin anda ingin bahaskan soal kualiti, saya percaya anda betul.

Besar kemungkinan anda ingat saya cemburu kerana ha­nya mampu membeli Perodua Myvi, sedangkan anda bergaya dengan Honda City atau Toyota Vios. Anda salah, kerana saya hanya akan cemburu jika anda memandu Honda Civic. Perkara ini bergantung kepada individu itu sendiri, jika mampu teruskan, jika tidak fikirkan.

Hakikatnya, kereta adalah satu keperluan yang banyak membantu orang ramai dalam urusan harian khususnya buat generasi muda. Mereka tidak sesuai bersesak menaiki pe­ngangkutan awam kerana mereka berada dalam kelas yang tersendiri. Saya faham dan saya tidak katakan beli kereta adalah tindakan yang kurang tepat.

Tetapi, harus diingat bahawa kereta adalah liabiliti dan bukannya aset. Ini kerana anda tidak menghasilkan wang, malah harus mengeluarkan wang. Tidak pernah seseorang beli kereta berharga RM80,000 dan berjaya menjualnya dengan harga RM95,000 setelah dua tahun menggunakannya. Kecuali jika anda orang ternama.

Dengan memiliki kereta, anda juga terpaksa membayar insu­rans, cukai jalan, penyelenggaraan dan petrol. Itu belum termasuk jika anda seorang yang betul minat, anda mungkin berbelanja lebih bagi menyolek kereta. Maka, beli kereta murah sudah memadai seandainya anda berhasrat membeli rumah di kemudian hari.

Cadangan ini bagaimanapun hanya terpakai kepada mereka dengan gaji yang kecil atau sekadar cukup makan. Melainkan anda seorang yang bergaji besar, anak orang kaya atau juga seorang usahawan berjaya se­perti Wak Doyok, tidak mengapa untuk anda memandu Ford Mustang GT dan abaikan sahaja artikel mengarut ini.

Seperti yang diketahui umum, masa yang terbaik untuk membeli rumah adalah sekarang. Ini kerana, rumah adalah aset yang harganya tetap akan meningkat. Sebagai contoh, sebuah rumah teres di Kelana Jaya dijual pada harga RM850,000 tahun ini, tiga tahun lagi tidak mustahil har­ganya mencecah lebih RM1 juta sebuah.

Meskipun begitu, proses untuk membeli rumah adalah jauh lebih rumit jika dibandingkan dengan kereta. Mana tidaknya, pinjaman kereta hanya sembilan tahun, sementara rumah pula 30 tahun. Bank tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan pinjaman anda, malah mereka akan lakukan pemeriksaan yang menyeluruh.

Tahun lalu, kerajaan mendapati kediaman siap dibina yang tidak terjual meningkat 40 peratus kepada 20,807 buah dengan nilai RM12.26 bilion pada separuh pertama 2017, sebahagian besarnya adalah kondominium dan pangsapuri berharga lebih RM500,000. Dalam perkara ini, siapa yang seharusnya dipersalahkan?

Saya faham dengan perkembangan ekonomi negara, pemaju juga terpaksa menampung kos pembinaan yang semakin meningkat. Namun, dengan fakta peningkatan rumah yang tidak terjual ketika ini, setidak­nya pemaju boleh memfokuskan kepada rumah mampu milik dan bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Mungkin dengan lambakan rumah mampu milik, generasi muda berpeluang untuk membuat keputusan dengan lebih bijak sama ada membeli kereta atau rumah dahulu. Anda termasuk saya sendiri menjadi mangsa kepada sistem kerana komitmen untuk membeli rumah sedikit melampau. Mungkin kita mampu, tetapi akan menyusahkan.

Jadi, beli kereta atau rumah dahulu? Sudah tentunya, tiada jawapan yang betul atau salah. Walaupun ramai akan berkata lebih baik beli rumah dahulu, tetapi tidak ramai yang sudah bersedia dengan komitmen dan risiko kewangan itu. Setiap orang menjalani gaya hidup yang berbeza, maka perkara ini amat sukar untuk disimpulkan.