Ketua Pegawai Eksekutif Bank Dunia, Kristalina Georgieva berkata, risiko kepada ekonomi dunia menjadi lebih teruk termasuk ancaman pergerakan pasaran dan peningkatan dalam pertikaian perdagangan.

KRISTALINA GEORGIEVA
KRISTALINA GEORGIEVA 

Katanya, kelemahan hutang dalam pasaran baharu muncul dan di negara-negara memba­ngun juga meningkat yang menyumbang kepada kelembapan dalam prospek ekonomi global.

“Syarat pembiayaan global makin diperketatkan, pengeluaran perindustrian menjadi sederhana, ketegangan perdagangan meningkat dan beberapa ekonomi sedang pesat membangun mengalami tekanan pasaran kewangan yang ketara.

“Berhadapan dengan hala­ng­an ini, pemulihan dalam ekonomi yang sedang pesat membangun telah kehilangan momentum,” katanya dalam laporan Bloomberg di sini hari ini.

Bank berpangkalan di Wa­shington itu menyasarkan pertumbuhan global sebanyak 2.9 peratus tahun ini, turun daripada tiga peratus pada 2018 dan pengurangan 0.1 mata pe­ra­tusan daripada jangkaan pada Jun lalu.

Ujar Georgieva, kos pinjaman meningkat dan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah memperlahankan prospek pertumbuhan global serta memberi impak kepada para pelabur.

“Kami berdepan situasi yang sukar buat ekonomi global dan turun naik dalam pasaran kewangan telah memberikan isyarat,” katanya.

Dalam pada itu, Georgieva akan mengambil alih kepimpinan interim keseluruhan Bank Dunia pada bulan depan selepas Presidennya, Jim Yong Kim semalam mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan.

Peralihan itu adalah pada waktu yang sibuk buat Bank Dunia yang mungkin menghadapi peningkatan permintaan bagi pinjaman susulan pasaran baharu muncul bergelut dengan kenaikan kadar faedah AS. – AGENSI