Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Simon Chen berkata, walaupun keadaan makroekonomi negara adalah terbukti kukuh tetapi ketidaktentuan perubahan dasar oleh kerajaan baharu akan menimbulkan sentimen kepada pelabur dan perniagaan sepanjang tahun ini.

Moody’s juga mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada 5.4 peratus tahun ini manakala pembiayaan pula tumbuh sekitar enam hingga tujuh peratus dalam tempoh berkenaan.

“Pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam masa sama akan meningkatkan penggunaan swasta dan memberi kelebihan kepada perniagaan domestik dalam tempoh terdekat.

“Faktor ini secara tidak langsung menjadikan persekitaran operasi yang menggalakkan bagi bank-bank di Malaysia dan membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan mereka.

“Pada masa sama, pertumbuhan pinjaman lebih pantas dijang­kakan, kekal pada kadar yang le­bih perlahan daripada pengekalan keuntungan bank-bank, yang membawa kepada penampan modal yang lebih kukuh,” kata­nya.

Beliau berkata demikian da­lam laporan sistem perbankan di Malaysia bertajuk ‘Keadaan makro yang mantap dan me­ningkatkan permodalan bagi menyokong prospek yang stabil’ yang dikeluarkan hari ini.

Moody’s mengekalkan prospek stabil terhadap sistem perbankan di Malaysia sejak 2010.

Dalam laporan itu juga, Moody’s turut memberi penarafan kepada 11 bank di Malaysia iaitu lapan bank komersial konvensional, satu bank pelaburan, bank islam dan institusi pemba­ngunan kewangan milik kerajaan.

Prospek stabil itu adalah berdasarkan penilaian Moody’s terhadap enam pemacu iaitu persekitaran operasi (stabil), kualiti aset (stabil), modal (semakin baik), mudah tunai dan kecairan (stabil), keuntungan dan kecekapan (stabil) dan sokongan kerajaan (stabil).

Berdasarkan laporan itu, agensi penarafan antarabangsa itu mendapati kualiti aset kekal stabil di sebalik keadaan tekanan yang berkurangan dalam kala­ngan syarikat korporat yang bermasalah dan pertumbuhan perlahan paras hutang isi rumah.

Pembentukan pinjaman tidak berbayar baharu akan kekal perlahan dalam keadaan kenaikan sederhana kadar faedah, apabila keuntungan bertambah baik dan pertumbuhan pinjaman isi rumah berisiko semakin berkura­ngan.

Dari segi permodalan, paras akan meningkat apabila penja­naan modal mengatasi pertumbuhan aset dan terbukti men­cu­kupi untuk mengimbangi pe­larasan sekali berbanding nisbah modal bagi memenuhi standard MFRS 9.

Laporan itu juga menunjukkan dana dan kecairan bank-bank akan kekal stabil manakala nisbah pinjaman kepada deposit akan meningkat apabila pertumbuhan pembiayaan melonjak tetapi nisbah tersebut kekal di bawah 100 peratus.

“Tambahan pula, bank-bank akan mengekalkan kedudukan­nya bagi memenuhi keperlu­an minimum yang selesa di bawah pengawalseliaan mudah tunai dan kecairan Basel III,” jelas laporan tersebut.

Mengenai keuntungan pula, perolehan semakin meningkat dipacu oleh pertumbuhan pinjaman yang melonjak akan menyokong keuntungan bank-bank berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, sokongan kerajaan terhadap bank-bank dalam tempoh semasa yang sukar dijangka kekal kukuh.

“Pembaharuan perundangan baru-baru ini tidak membayangkan sebarang peralihan dalam dasar kerajaan bagi penyelesai­an bank-bank bermasalah me­lainkan pembubaran dengan kurangnya pengawalseliaan untuk memaksa pemiutang bank menanggung sebarang kos bagi usaha menyelamatkan bank,” kata­nya.