Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kebanyakan laluan yang ada hanya menghubungkan antara kawasan bandar besar dan meminggirkan kawasan berpotensi lain yang juga mempunyai permintaan sangat tinggi.

“ASEAN di dominasi oleh laluan yang menghubungkan bandar-bandar besar, AirAsia kini mahu menyediakan lebih banyak laluan ke bandar-bandar kecil contohnya di Indonesia kita sedang mengintai laluan ke bandar bernama Selangit sebab tiada satu pun penerbangan antarabangsa ke sana.

“Kita melihat banyak tempat di ASEAN tidak dihubungkan tetapi mempunyai permintaan yang tinggi, contohnya di Malaysia sebelum ini tiada laluan antara Kuala Lumpur ke Tawau tetapi selepas dibuka kita terpaksa menyediakan empat hingga lima penerbangan sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan secara langsung pengumuman syarikat penerbangan tersebut dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia bagi tahun kesepuluh berturut-turut dalam Anugerah Skytrax Penerba­ngan Dunia 2018 yang berlangsung di The Langham, London di Tune Hotel di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fernandes berkata, faktor yang mendorong terhadap permintaan laluan-laluan baharu itu ialah berkembangnya industri pekerjaan, pendidikan dan lebih banyak orang memilih untuk melancong bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja.

Dalam pada itu, mengulas me­ngenai kejayaan AirAsia mempertahankan anugerah tersebut, katanya, ia bukan tugas yang mudah tetapi sentiasa komited untuk menyediakan tambang murah, keutamaan terhadap pelanggan dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangannya di semua peringkat.

Ditanya mengenai impiannya di masa hadapan, Fernandes berkata, beliau mengimpikan syarikat pe­nerbangan yang berpangkalan di Malaysia itu dapat terbang ke seluruh benua di dunia.

Sementara itu, ditanya sama ada syarikat penerbangan tersebut telah membuat pilihan untuk membeli pesawat baharu, Fernandes berkata, buat masa ini tiada keputusan muktamad telah dibuat.

“Kita masih belum membuat keputusan tetapi AirAsia semema­ngnya memerlukan lebih banyak pesawat,” katanya.