Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi sudut pameran ataupun disebut sebagai 'ASEAN Corner' diharapkan dapat membantu memasarkan produk sekali gus menggalakkan perniagaan di antara koperasi ke koperasi dalam kalangan negara terbabit.

"Menerusi perjumpaan dalam mesyuarat ACO baru-baru ini, pemimpin-pemimpin koperasi ASEAN setuju untuk menggalakkan perdagangan antara negara. Tiap-tiap negara akan kenal pasti 10 produk yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

"Kalau kita ada 10 negara dan setiap negara mempunyai 10 produk, maknanya kita akan ada 100 produk dari negara-negara ASEAN. Sudut pameran itu nanti mungkin tidak besar tapi perlu ada sebagai tanda solidariti antara gerakan koperasi negara-negara terlibat bagi memajukan bidang koperasi mereka," katanya.

Abdul Fattah yang juga merupakan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Angkasa Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE