Anak syarikat milik penuh Arbiot Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Chean Chhoeng Thai Group Co. Ltd. (CCTG) bagi menyediakan teknologi IoT termasuk penyelesaian IT untuk projek The City Gate milik CCTG yang bernilai AS$1.5 bilion (RM6.21 bilion).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ARB, Datuk Larry Liew Kok Leong berkata, perjanjian itu akan menjadi batu loncatan kepada ARB untuk terlibat dalam perniagaan IoT di Kemboja.

“Kami amat sangat teruja dapat bekerjasama dengan CCTG dalam penawaran pengalaman gaya hidup yang unik untuk pembeli The City Gate,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pembangunan dalam bandar Kemboja yang paling padat penduduk itu akan merangkumi bangunan-bangunan pejabat, sebuah kompleks komersial, sebuah pusat seni, dataran kebudayaan, resort, kondominium, hotel lima bintang, pusat pameran serta sebuah taman awam di sepanjang Sungai Tonle Sap.

CCTG merupakan syarikat tujuan khas bagi pemegang saham utama Guangzhou Yuetai Group Co Ltd yang disenaraikan di Shanghai.

Sementara itu, ARB, melalui satu lagi subsidiari milik penuhnya iaitu ARB Development Bhd (ARBD), telah memeterai satu MoU hari ini dengan HK Yue Tai Life Insurance (HKYT) bagi menyediakan penyelesaian dan sistem perancangan penyumberan perusahaan (ERP) yang bernilai US$20 juta (RM82.8 juta).

Di bawah MoU itu, ARBD dijangka akan menerapkan ERP serta perkakasan dan perisian berkaitan IT untuk HKYT dan HKYT akan menggunakan khidmat pengurusan projek IT kepada ARBD. - BERNAMA