Pengarah Komunikasi dan Hal Ehwal Awam APEC, Michael Chapnick berkata, tugas itu dilihat bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan pelbagai cabaran yang menjejaskan rantau itu ketika ini.

Katanya, daripada perang perdagangan sehingga harga minyak mentah dan sentimen pelabur yang merudum di rantau itu, kerajaan APEC perlu menghapuskan kebimbangan dalam kalangan 31 juta penduduknya.

“Mereka perlu bersama-sama menerusi usaha bersepadu untuk mencapai matlamat itu dengan perlu mengguna pakai teknologi moden secara menyeluruh serta menggunakan alat komunikasi moden,” katanya kepada Bernama.

Sambil mengakui pelbagai cabaran dihadapi ekonomi APEC, beliau menzahirkan keyakinan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempunyai pengalaman dalam forum serantau itu.

Malaysia yang akan menjadi pengerusi buat kali kedua selepas kali pertama pada 1998 akan mampu menerajui dan memandu pemimpin serantau untuk merumuskan inisiatif negara dan serantau dengan memberi tumpuan kepada penyampaian ekonomi.

Malaysia akan mengambil alih selaku pengerusi APEC pada majlis penyerahan rasmi yang di jadual berlangsung pada pertengahan November apabila Chile menamatkan tempoh khidmatnya selaku pengerusi. - BERNAMA