Anda tidak perlu risau jika masih tidak faham mengenai ‘penjenamaan’, kerana tidak semua usahawan tahu mengenai ‘penjenamaan’ termasuk diri saya sendiri di awal perniagaan.

Produk dan Jenama

Untuk memahami konsep penjenamaan, pertama sekali kita perlu tahu apakah maksud produk dan jenama. Secara umumnya, produk adalah perkara yang boleh ditawarkan kepada pasaran untuk memenuhi kehendak atau keperluan, termasuk barangan, perkhidmatan, pengalaman, peristiwa, individu, tempat, harta benda, organisasi, maklumat dan idea fizikal.

Bagi menggambarkan de­finisi dan peranan sesuatu produk dalam menentukan penjenamaan, kita boleh menggunakan contoh air. Air merupakan sumber bebas yang diperlukan oleh manusia untuk terus hidup. Namun kini ia telah menjadi produk keluaran sesuatu syarikat dan dipasarkan secara komersial dengan hanya menjual air mineral dalam botol kaca atau plastik.

Seperti yang kita ketahui, air sentiasa kelihatan sama. Ia cair dan jernih. Jadi, bagaimanakah sesuatu syarikat pengeluar menjual produk yang sama tetapi masih mampu meyakinkan orang ramai untuk membeli air botol mereka dan bukannya daripada syarikat lain? Jawapan bagi persoalan ini ialah dengan mencipta jenama.

‘Jenama’ bermaksud nama, istilah, reka bentuk, simbol atau ciri lain yang membezakan organisasi atau produk daripada saingannya di mata pelanggan. Jenama biasanya digunakan dalam perniagaan, pemasaran, dan pengiklanan.

Jenama biasanya adalah idea atau imej yang wujud dalam fikiran anda dan pembeli apabila nama jenama disebut. Sebagai contoh kita membayangkan sesuatu produk, perkhidmatan dan aktiviti tertentu syarikat, baik secara praktikal (contoh­nya ‘kasut adalah ringan’) dan secara emosi (contohnya ‘kasut ini mampu membuat saya kuat’).

Oleh itu, ia bukan hanya ciri-ciri fizikal yang mencipta jenama tetapi juga perasaan pengguna yang berkait rapat dengan syarikat atau produk tersebut. Gabungan isyarat fizikal dan emosi tercetus apabila terdapat hubung kait antara nama, logo, identiti visual atau mesej yang disampaikan.

Terdapat banyak produk di pasaran yang mempunyai fungsi yang sama tetapi dengan jenama berbeza. Sebagai contoh, Pepsi dan Coca-Cola mempu­nyai rasa yang lebih kurang sama, namun atas sebab tertentu, kebanyakan pengguna rasa lebih dekat dengan jenama Coca-Cola, berbanding dengan jenama Pepsi kerana jenama Coca-Cola lebih terkenal dan dipercayai.

Apakah ‘penjenamaan’

Maksud ‘penjenamaan’ pu­la adalah pemberian jenama (nama tertentu) kepada sesuatu barangan yang dihasilkan daripada aspek pembungkusan dan sebagainya. Penjenamaan adalah proses memberikan nilai kepada syarikat, produk atau perkhidmatan tertentu dengan mencipta sesuatu imej, baya­ngan atau perasaan dalam minda pengguna.

Ia adalah strategi yang direka oleh syarikat untuk memboleh­kan pengguna mengenal pasti produk dengan mudah dan membeli produk tersebut tanpa perlu berfikir panjang. Tujuan penjenamaan adalah untuk menarik dan mengekalkan pe­langgan yang sedia ada melalui penyediaan produk yang selari dengan apa yang digambarkan oleh sesuatu jenama.

Strategi jenama yang berkesan dapat memberikan anda kelebihan utama dalam pasaran yang semakin kompetitif. Tetapi apa sebenarnya maksud ‘penjenamaan’. Secara ringkas, jenama anda adalah janji kepada pelanggan anda.

Ia mampu menyampaikan mesej kepada pembeli mengenai produk dan perkhidmatan anda dan ia juga mampu membezakan produk atau perkhidmatan daripada pesaing anda. Jenama anda juga adalah menggambarkan siapa anda, apa yang anda lakukan dan apa yang anda akan berikan kepada pengguna atau pun pembeli.

Asas jenama anda mungkin ada pada logo, laman web, cara pembungkusan dan cara promosi anda. Kesemuanya perlu mengintegrasikan logo dan mampu menyampaikan mesej jenama anda. Strategi jenama anda adalah bagaimana, di mana, bila dan siapa anda merancang untuk berkomunikasi bagi menyampaikan mesej.

Pengiklanan juga sebahagian daripada strategi jenama anda. Saluran pengedaran anda juga merupakan sebahagian daripada strategi jenama anda. Dan apa yang anda berikan secara visual dan lisan adalah sebahagian daripada strategi jenama anda juga.

Penjenamaan strategik yang konsisten membawa kepada ekuiti jenama yang kukuh, mampu menaikkan nilai yang dibawa oleh produk atau perkhidmatan syarikat yang membolehkan mengenakan bayaran lebih untuk jenama anda berbanding dengan jenama lain.

Contoh yang paling jelas ialah Coke vs soda generik. Se­perti yang kita lihat Coca-Cola telah membina ekuiti jenama yang kuat, yang mana ia telah mengeluarkan kos pengiklanan yang tinggi bagi menaikkan nama produk mereka. Dengan ini, tanpa ragu-ragu pelanggan mereka akan membayar harga yang lebih tinggi berbanding air soda biasa.

Nilai tambahan intrinsik kepada ekuiti jenama sering dikaitkan dengan kualiti dan emosi. Sebagai contoh, Nike mengaitkan produknya bersama bintang atlet terkenal, de­ngan harapan pelanggan akan merasai emosi sebenar seorang atlet apabila memakai kasut keluaran mereka.

Bagi Nike, ia bukan hanya ciri dan kualiti kasut yang mempe­ngaruhi si pemakai tetapi emosi si pemakai juga penting dalam memasarkan setiap produk keluarannya.

(Bersambung Bahagian Kedua minggu hadapan)