Pengerusi Eksekutif Alpha­dena Mobile, Feriz Omar berkata, permainan mudah alih itu boleh mula dimuat turun di platform Google Play dalam tempoh tiga hari manakala di platform Apps Store kira-kira dua minggu lagi.

Katanya, permainan mudah alih itu bersifat endless game yang memaparkan watak seorang pegawai penguat kuasa yang gigih mengejar watak seorang pemimpin politik korup yang dipanggil The One.

“Kami mengambil tanggungjawab untuk mendidik generasi muda tentang betapa negatif­nya kleptokrasi dan perlu ditolak habis-habisan.

“Ini juga merupakan agenda murni kita untuk memastikan orang ramai memahami apakah itu kleptokrasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ke­tua Pegawai Pemasaran Projek Kleptokrazy, Mohamad Nizam Mustapha dan Ketua Pegawai Teknologi Projek Kleptokrazy, Mohd. Ridzwan Zulkifli.

Feriz berkata, pihaknya juga akan menyumbang sebanyak 20 peratus pendapatan daripada projek berkenaan kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Permainan mudah alih yang dicipta khas ini bukan sahaja akan menyumbang demi membina semula Malaysia tetapi juga mempunyai intipati mendidik rakyat dan masyarakat antarabangsa terutama generasi muda untuk menolak budaya jijik rasuah dan amalan kleptokrasi,” ujar beliau.

Selain itu katanya, perkembangan pesat teknologi dalam permainan video termasuk e-sukan membuatkan syarikat tersebut terus giat mencari bakat baharu dalam bidang pengkomputeran dan perisian teknologi maklumat.

“Kami berbangga dengan ke­mampuan saintis pengkomputeran dan jurutera perisian muda seperti Mohd. Ridzwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Projek Kleptokrazy, Ali Fikri Mustapha.

“Sekiranya ada bakat-bakat baharu dalam dunia siber se­perti mereka, kami berharap mereka dapat menghubungi kami supaya idea yang ada dapat diketengahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nizam berkata, penghasilan per­mainan itu tepat pada waktunya apatah lagi yang berbentuk endless game dilihat se­iring trend terkini.