Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, perjanjian itu akan mengukuhkan kedudukan bank dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan akhir untuk kedua-dua individu dan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, perkongsian dengan Zurich Malaysia juga akan membantu mengukuhkan keupayaan Alliance Bank untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk pelanggan perniagaan dan individu.

“Penawaran penyelesaian insurans am dan takaful am membolehkan kami memenuhi ke­perluan khusus pelanggan serta memberi akses yang lebih baik kepada mereka,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamik Bank, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim; Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Bhd., David Fike dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Ge­neral Takaful Malaysia Bhd., Zuhairi Ismail.

Tambah Kornreich, kedua-dua pihak akan mengintegrasikan keupayaan teknologi untuk menembusi pasaran masing-masing serta membolehkan orang ramai berinteraksi secara terus dengan Alliance dan Zurich.

Sementara itu, Fike berkata, kerjasama dengan Alliance itu adalah yang pertama melibatkan bankasurans dan bankatakaful dijalankan Zurich di Malaysia.

Beliau berkata, kadar penembusan insurans am di Malaysia ketika ini adalah 1.23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Zurich Malaysia berhasrat memastikan keperluan insurans adalah mencukupi di Malaysia.

“Kerjasama ini yang akan bermula pada Mei 2019 akan menawarkan penyelesaian perlin­dungan kepada rakyat Malaysia menerusi 81 cawangan Alliance Bank di seluruh negara.

“Tumpuan utama perkongsian ini juga adalah untuk membangunkan saluran digital yang dipertingkatkan, cepat dan mudah diakses oleh pelanggan,” katanya.