Alliance Bank dalam kenyataannya berkata, Mahkamah Persekutuan hanya mengesahkan keputusan Menteri Sumber Manusia bahawa pekerja terbabit tidak terlibat dengan kapasiti eksekutif, pengurusan, kerahsiaan dan keselamatan.

Katanya, menteri juga tidak diwajibkan untuk menyediakan laporan dan siasatan terhadap asas yang digunakan oleh menteri dalam membuat keputusan.

“Lantikan yang dibuat pada 2012 merupakan usaha murni bank untuk memperbaiki prospek dan kemajuan kerjaya pekerja yang layak di samping memenuhi keperluan perniagaan.

“Bagaimanapun, para pekerja yang terlibat tidak dinafikan hak mewakili kesatuan dan diwakili oleh badan kesatuan lain,” katanya di sini hari ini.

Sabtu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dua bank selepas didapati cuba memecah belahkan kesatuan sekerja dengan menaikkan pangkat kakitangan perkeranian kepada eksekutif tanpa perubahan tugasan atau penambahan kuasa.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon dalam kenyataannya berkata, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara bersetuju bahawa kedua-dua bank itu bertindak demikian supaya kakitangan terbabit kehilangan kelayakan menyertai kesatuan sekerja.

Menurut beliau, walaupun kenaikan pangkat itu bermaksud kakitangan berkenaan berjawatan eksekutif, namun skop pekerjaan masih merangkumi tugas-tugas perkeranian.

Sehubungan itu, Solomon menegaskan pihak kawal selia perbankan harus mengambil tindakan bersesuaian terhadap kedua-dua bank berkenaan susulan keputusan yang dilakukan Mahkamah Persekutuan.

NUBE sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa tindakan kedua-dua bank itu berbentuk ‘union bursting’ yang bertujuan memaksa pekerja keluar daripada kesatuan sekali gus melemahkan pengaruh dan kuasa rundingan NUBE.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah kemuncak perbicaraan yang bermula tujuh tahun lalu apabila NUBE menyaman dua bank berkenaan susulan tindakan mereka menaikkan pangkat pekerja perkeranian kepada wakil perhubungan pelanggan dan eksekutif perkhidmatan pelanggan. - UTUSAN ONLINE