Menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research, di antara empat pasaran ASEAN yang dipantau, Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai negara dengan aliran keluar bersih asing terbesar.

Katanya, Bursa Malaysia merekodkan jumlah aliran keluar dana asing sebanyak RM433.4 juta pada minggu lalu yang juga merupakan jumlah terbesar dalam tempoh enam minggu.

“Sementara itu, dalam kalangan tujuh pasaran Asia yang dipantau, India adalah negara de­ngan aliran masuk bersih ­asing terbesar bernilai lebih daripada AS$ 8.5 bilion (RM30 bilion) susulan pilihan raya umum masih berjalan sehingga Mei 2019,” ­katanya dalam laporan tersebut di sini hari ini.

Jelas MIDF Research, pelabur antarabangsa merupakan penjual bersih untuk sepanjang minggu tersebut, memperluas jualan bersih harian sehingga tujuh hari pada Jumaat lepas.

“Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu lalu dengan prestasi agak menghampakan susulan hampir RM100 juta dana asing dibawa keluar pada Isnin walaupun terdapat kekhuatiran mengenai perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China berikutan pemulihan kukuh dalam eksport China yang me­ningkat 14.2 peratus tahun ke tahun pada Mac 2019,” katanya.

Tambahnya, paras jualan bersih asing jatuh kepada RM38.2 juta pada Selasa menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama China.

“Majoriti rakan-rakan Asia ­Utara iaitu Taiwan dan Korea melihat aliran masuk bersih asing melebihi AS$100 juta (RM413.4 juta),” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, dana asing mencatatkan penurunan pengeluaran kepada RM140.6 juta kerana keyakinan yang didorong oleh KDNK suku pertama 2019 China.

“Aliran keluar dana asing kemudiannya diburukkan oleh laporan kemungkinan penge­cualian hutang Malaysia dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Dunia yang boleh membawa kepada kehilangan kira-kira AS$8 bilion (RM33.1 bilion) dalam pasaran bon Malaysia,” katanya.

Bursa Malaysia kemudiannya menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM96.4 juta pada Khamis sebelum ia mengakhiri sesi dagangan pada Jumaat dengan jumlah RM59.8 juta.

“Pengumuman kerajaan ­Malaysia untuk menyambung semula projek Bandar Malaysia memberi sedikit kelegaan kepada bursa tempatan dengan me­nyaksikan peningkatan 0.1 peratus untuk ditutup pada 1,622 mata,” katanya.