RAM Ratings berkata, pegangan asing Sekuriti Kerajaan Malaysia adalah 46 peratus daripada pegangan keseluruhan, berbanding 47.1 peratus pada Disember 2016.

“Di samping itu, permintaan asas bagi pelaburan jangka panjang adalah tidak terjejas,” menurut agensi penarafan itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut RAM Ratings, selepas Januari dipenuhi de­ngan pelbagai peristiwa dasar awam global, sentimen risiko kini adalah tinggi.

“Ini susulan kesunggu­h­an pentadbiran (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump untuk melaksanakan beberapa dasar luar baharu sehinggalah kebangkitan nasionalisme di Eropah, ketidaktentuan masih ada dan berkemungkinan kekal demikian pada masa depan yang boleh dijangka,” menurut agensi penarafan itu.

Akibat daripada kadar penyederhanaan aliran keluar dana asing bagi Malaysia, RAM Ratings berkata, hasil menjadi normal dengan hasil penurunan bagi peralihan kematangan dalam semua kelas aset.

RAM Ratings berkata, terbitan kasar sekuriti kerajaan bernilai sehingga RM14 bilion pada Januari berbanding RM2 bilion pada Disember 2016.

“Terbitan yang kukuh itu adalah bertepatan dengan ke­perluan pembiayaan yang meningkat bagi kerajaan tahun ini. Selain itu, terbitan kasar kertas korporat adalah suram, dengan nilai terbitan keseluruhan hanya RM1.6 bilion,” me­nurut agensi itu. – BERNAMA