Beliau berkata, langkah tersebut merupakan fokus Alibaba dalam mengurangkan ketegangan perdagangan berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

“Misi kami adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha untuk menghubungkan syarikat dan usahawan dan cuba mempromosi perdagangan dan bukannya menghentikan perdagangan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan semula pertama Asia bagi Felo e-pengasas dan lulusan Program Latihan Usahawa Internet (Netpreneur) Alibaba Business School di sini hari ini.

Wong berkata, perang perdagangan bukan sesuatu yang baik dan peranan Alibaba adalah untuk terus mengembangkan perdagangan kerana pada akhirnya ini baik untuk semua orang.

Mengenai prospek ekonomi digital ASEAN, Wong berkata, rantau ini berada pada landasan yang betul kerana ia merupakan pasaran pelbagai dengan tahap perkembangan yang berbeza.

“Sejumlah 620 juta penduduk dan ekonomi yang berkembang, inilah prospek positif dan kesediaan untuk menggunakan teknologi juga merupakan perkara yang positif,” katanya.

Wong berkata, struktur perniagaan Alibaba berbeza daripada penggiat e-dagang lain kerana strategi perniagaannya lebih inklusif.

“Alibaba ialah sebuah platform, kami tidak mempunyai produk, namun kami membolehkan orang ramai menjual produk. Kami mahu menjadi infrastruktur ekonomi digital bukan peruncit dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Wong berkata, Alibaba berkongsi model perniagaannya dengan semua orang untuk memperkasa mereka dalam usaha membina komuniti, dan bukan sebuah empayar.

Lebih 200 usahawan dan peserta dari Asia Tenggara hadir pada majlis itu untuk belajar dan menjalin rangkaian dengan usahawan yang meningkat naik dari rantau ini serta meraikan kisah kejayaan mereka. - BERNAMA