Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, pemerolehan dana kasar oleh pasaran modal mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 21.4 peratus kepada RM134.6 bilion berbanding RM110.9 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Jelas laporan itu, sektor awam dan swasta menyumbang secara seimbang kepada keseluruhan pemerolehan dana kasar pasaran modal dengan jumlah RM67.4 bilion dan RM67.2 bilion.

“Pemerolehan dana kasar sektor awam meningkat 16.9 peratus mencerminkan inisiatif berterusan kerajaan bagi membangunkan ekonomi melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Terbitan sekuriti kerajaan juga meningkat 14.3 peratus kepada RM35.3 bilion.

“Pemerolehan dana bersih oleh sektor awam melonjak kepada 27.5 peratus dengan nilai RM42.5 bilion selepas mengambil kira penebusan,” jelasnya.

Sementara itu, pemerolehan dana kasar oleh sektor swasta melalui terbitan bon korporat baharu mencatat pertumbuhan lebih tinggi iaitu 26.3 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017.

Menurutnya, sebahagian besar terbitan baharu adalah nota jangka sederhana yang menyumbang 94.4 peratus daripada jumlah bon korporat.

Jelasnya lagi, peningkatan pelaburan oleh institusi tempatan dan asing ke dalam pasaran bon korporat didorong oleh sentimen dan keyakinan pelabur yang lebih tinggi terhadap prestasi ekonomi negara.

“Sektor kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan kekal memperoleh sebahagian besar dana iaitu RM35.4 bilion atau 62.1 peratus daripada jumlah keseluruhan terbitan baharu bon korporat.

“Sebahagian besar dana ini digunakan untuk membiayai projek infrastruktur, modal kerja dan aktiviti perniagaan am. Pemerolehan dana oleh pasaran ekuiti domestik meningkat lebih ketara dengan 10 tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM7.4 bilion dalam tujuh bulan pertama 2017,” jelas laporan itu.