AirAsia X yang merupakan syarikat penerbangan pertama mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne, Avalon tersebut menawarkan tambang promosi ke Avalon pada kadar tambang serendah RM499 bermula hari ini hingga 9 Disember 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, ketibaan penerbangan AirAsia X D7218 ke terminal tambang rendah, Lapangan Terbang Melbourne Avalon itu menandakan satu era baharu bagi para pelancong dan juga kumpulan AirAsia di Australia.

Katanya, pendaratan sulung AirAsia tersebut adalah hasil perjanjian 10 tahun di antara syarikat penerbangan Asia Tenggara itu dengan Lapangan Terbang Melbourne Avalon menyaksikan pelaburan bernilai AUD$48 juta (RM146 juta) daripada kerajaan Australia dan Victoria bagi membangunkan infrastruktur di sekitar Bandar Geelong. 

“Kemudahan yang dibina khas di Lapangan Terbang Melbourne Avalon hari ini akan menjadi satu daripada hab penting antarabangsa buat kami di luar Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran penerbangan sulung ke Avalon di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE