Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menerusi ciapan di Twitter berkata, penjualan itu pada harga yang tinggi bakal memberi keuntungan terhadap semua pesawat selain menge­lakkan risiko.

Katanya, langkah tersebut turut mengembalikan tunai kepada pemegang saham yang mana boleh digunakan untuk membuat pelaburan dalam perniagaan digital baharu.

“Standard Pelaporan Ke­wangan Malaysia (MFRS) 16 tidak memberi kesan terhadap kedudukan tunai. Saya menilai syarikat melalui penjanaan tunai.

“Jika anda menggunakan keuntungan dan kerugian untuk menganalisis kesan standard baharu MFRS 16, impak tersebut adalah kira-kira RM35 juta setahun dan tidak begitu ketara,” katanya di sini hari ini.

Tambah Fernandes, langkah pelupusan pesawat juga memperlihatkan reaksi berbeza oleh firma-firma penyelidikan.

“Keputusan menjual ­pesawat juga bijak memandangkan ­penganalisis mengatakan kami membeli banyak pesawat dan beberapa penganalisis pula mengatakan kami kini mempunyai banyak pesawat pajakan,” katanya.

CIMB Equities Research berpendapat, unjuran nisbah hutang bersih syarikat penerbangan kos rendah itu bagi tahun kewangan 2019 mencecah 145 pe­ratus ekuiti selepas permodalan pajakan operasi dengan penggunaan MFRS 16 ­sejak 1 Januari lalu.

AirAsia sebelum ini mengumumkan akan menjual 25 pesawat kepada Castlelake LP membabitkan bayaran sebanyak RM3.2 bilion.

Ia dilakukan menerusi penjualan keseluruhan kepentingan ekuiti Kumpulan AirAsia dalam Merah Aviation Asset Holding Ltd., yang dipegang oleh anak syarikat milik penuh induknya, Asia Aviation Capital Ltd. (AACL) kepada sebuah entiti yang tidak dikawal secara langsung oleh Castlelake, AS Air Lease Holdings 5T DAC.

Sebagai tambahan kepada penjualan saham Merah Aviation, Castlelake juga membeli empat pesawat baharu daripada AACL yang akan diserahkan ­tahun ini.